Bacalah dengan nama tuhanmu yang maha mengetahui..



Thursday, July 23, 2009

Pilihan

Keputusan peperiksaan Rendah Pelajaran [SRP] diumumkan. Ia perlu diambil di pejabat pentadbiran sekolah. Beberapa orang cikgu yang saya kenali berkumpul di perkarangan pejabat itu. Mereka tersenyum memandang kepada saya dan mengucapkan tahniah.

Apabila keputusan peperiksaan di terima, saya seperti tidak percaya dengan keputusannya. Di dalam hati ingin rasanya menjerit sepenuh hati. Saya terus berlari menyembunyikan diri di belakang tembok sekolah. Menghayati setiap baris tulisan yang tertera di atas sekeping kertas. Tidak sedar air mata mengalir deras mengiringi kegembiraan.

Alhamdulillahi Rabbil a'lamin!

Hari itu saya meminjam basikal Atok Abah. Tidak sabar rasanya ingin mengkhabarkan keputusan peperiksaan kepada mak dan abah. Terasa kayuhan basikal seperti tidak berputar!
"Mak, ini keputusan peperiksaan saya"

Saya melihat mak tersenyum sambil mengalirkan air mata. Tiada kata-kata yang terkeluar dari kedua bibirnya. Tiada! Hanya sedikit sedu yang kedengaran. Ia seperti tertahan-tahan.

"Mak tiada harta benda untuk dihadiahkan..ambil ni, sebilah cincin belah rotan. Tanda mata dan kesyukuran dari mak."

"Mak simpanlah..saya tidak perlukan ia. Saya perlukan mak lebih dari segala-galanya. Senyuman dan air mata mak adalah hadiah termahal buat saya"

Saya ingin katakan seperti itu. Tetapi ia tidaklah semudah itu. Saya cuma menolak dan menyatakan agar mak menyimpannya sahaja. Saya tahu, hanya itulah sahaja perhiasan mak yang ada ditubuhnya.

Saya tunjukkan lagi beberapa borang untuk kemasukan ke sekolah berasrama penuh kepada mak. Terdapat beberapa pilihan sekolah - Sekolah Menengah Sains, Sekolah Menengah Teknik dan MRSM. Jauh di sudut hati saya benar-benar ingin bersekolah di sana. Bertambah lebat air mata mak keluar mencurah-curah dari kelopak matanya.
"Mak telah kehilangan seorang anak perempuan yang sedang membesar.. Mak tidak dapat melihat Kak Long Pidah membesar di depan mata. Kini..mak akan kehilangan awak pula"
Saya keliru!

Berbelah bahagi di antara dua pilihan. Di telan mati mak, diluahkan mata bapa!

"Ya Allah, bantulah saya. Tetapkan hati untuk saya membuat pilihan yang terbaik seperti yang telah disuratkan di dalam buku yang tertulis - Loh Mahfuz. Apa jua keputusannya saya tidak akan menyesal apa tah lagi bersedih. Saya redha!

Wahai tuhan, perkenankan lah!"

8 comments:

  1. congratulations..! straight A ya? alhamdulillah... :)

    ReplyDelete
  2. Salam puan,

    saya dapat merasakan sayunya hati puan pada ketika itu...bergenang juga air mata pagi nie....emmmmmmm

    ReplyDelete
  3. Salam Puan,
    Apa pendapat puan ye tentang hal ni. Anak-anak saya hampir tamat sekolah rendah. Kalau diikutkan hati saya memang tak nak anak2 ke sekolah berasrama. Saya takut hubungan terjadi rengang. Tapi kawan saya berpendapat sekolah berasrama banyak kebaikkannya. Saya mohon Allah bantu saya menjadi ibu yang mampu memberi suasuana di rumah yang lebih baik dari suasana di asrama. Tapi takut tak kesampaian, maklumlah keje dah selalu jugak outstation

    ReplyDelete
  4. Salam

    Saya baru saja ke Blog Prof tadi. Oooops! This link appears to be broken. Message ini juga yang keluar.

    Hairan juga kenapa lately ada masalah untuk ke Blog Prof. Tak mengapalah, nanti saya cuba tanyakan kawan-kawan yang pandai IT. InsyaAllah.

    Terima kasih dan teruslah menulis untuk tatapan dan peringatan buat kami peminat-peminat cerita Kak Roza ya.

    Hajarul Aswad

    ReplyDelete
  5. Memang dari dulu Kak Roza pandai berdoa sebegitu ya? Memang mengkagumkan!! Ya, hidup itu memang indah..

    ReplyDelete
  6. Salam sejahtera,
    Puan Hajarul Aswad,

    Saya rasa tiada masalah untuk memasuki blog saya. So far tak ada pula masalah tersebut!

    MKI

    ReplyDelete
  7. Assalamualaikum maksu,

    Serahkan semula kepada Allah. Memohon ketetapan hati dari-Nya. Bagaimana mungkin kita mengetahui masa hadapan anak-anak kita? Malah sebentar lagi pun kita tidak tahu apakah yang bakal terjadi.

    Berdoa, berusaha dan bertawakal kepada-Nya. Allah lebih mengetahui apa yang terbaik untuk anak-anak kita. Dia lebih mengetahui apa yang tidak kita ketahui.

    Wallahu'alam

    ReplyDelete
  8. Jika Ibu saya dulu, dia hanya tanyakan kami anak-anaknya, mahu atau tidak mahu? Adoiii.. kecil2 lagi sudah harus membuat keputusan sendiri. Baik buruk, tanggung sendiri! :)

    ReplyDelete