Bacalah dengan nama tuhanmu yang maha mengetahui..



Friday, October 9, 2009

Kenangan 2 : Majlis Perpisahan

Salah satu pakaian yang saya bawa bekalan untuk ke universiti nanti adalah sepasang seluar panjang [slack] berwarna merah samar mengikut trend semasa itu dan sepasang seluar hitam. Itu sahaja seluar panjang yang saya ada. Saya membelinya dengan mengumpulkan duit saku sendiri.


Saya letakkan seluar hitam bersebelahan dengan kemeja lengan panjang bercorak kotak-kotak dan belang-belang kepunyaan abah. Memang saya suka memakai kemeja abah terutamanya mana-mana kemeja yang abah tidak lagi padan kerana masalah kebuncitan. Abah hanya membiarkan sahaja saya memakai kemeja yang tidak lagi digunakan.

Melihat seluar hitam, saya kembali mengimbau kenangan semasa majlis perpisahan.

Pada hari terakhir kertas peperiksaan SPM, sebelah malamnya sekolah kami mengadakan majlis perpisahan untuk seluruh pelajar tingkatan 5. Sejak awal tahun lagi tarikhnya telah dimaklumkan kerana ianya merupakan suatu acara tahunan.

Beberapa minggu sebelum itu, kami telah berpakat-pakat dan berbincang tentang tema pakaian apa yang harus di pakai. Ada yang mencadangkan "Fancy dress", Kebaya, Era 60-an , black & white, Red Dragon dan berbagai tema. Tema yang dipilih adalah putih atau hitam.

Untuk mengadakan majlis seperti itu, ketua murid menubuhkan sebuah jawatankuasa dan saya adalah salah seorang daripadanya. Perbincangan demi perbincangan diadakan berbulan-bulan. Saya mendapat tugasan untuk membuat tempahan dan seterusnya menguruskan satay.

"Aja..awak tempah 1000 cucuk satay dengan Mak Misah. Rumah awak dekat dengan rumah dia kan?"
"Cik Ani, Dilla, Yatie..cari tempat bakar satay. Kipas, minyak masak dan serai"
"Jai, Roy, Ann, Hamidah, Ju ...awak kena bergilir-gilir bakar satay"


Saya membuat agihan kerja ala-ala Tai Chi manager.

Untuk menghadiri majlis itu kami terpaksa mencari pakaian berwarna hitam. Sudah tentu putih tidak sesuai memandangkan tugasan kami akan berhadapan dengan bara arang

Kenapalah kena ada tema? Selama ini, saya memakai seluar panjang abah yang telah mak masukkan ke dalam buntilan untuk diagihkan kepada orang lain. Seluar itu saya ikat di pinggang mengunakan lebihan kain perca. Saya tidak kisah apa orang lain kata kerana pakaian itu saya gunakan untuk memanjat sahaja. Lagipun, baju kemaja yang panjang sedia menutup bahagian pinggang. Tiada siapa tahu ada tali pinggang kain perca didalamnya.

Tetapi untuk majlis seperti itu, saya harus berpakaian baru. Untuk itu, berbagai perkara yang saya lakukan sejak awal tahun sehingga akhirnya saya dapat menggumpulkan sedikit wang. Di hujung minggu, saya mengambil upah menjadi pembantu kedai di warung Ucu Zainon.

Warung Ucu Zainon letaknya berhampiran dengan rumah kami. Ia terapit di antara pejabat pos dan balai polis Jementah. Di hujung minggu, warung itu betul-betul menghadap pasar malam. Pilihan tempat yang tepat! Saya membantu mereka mengambil tempahan makanan pelanggan, membersihkan meja dan membasuh pinggan.

Selain dari berniaga warung, mereka juga menjual ayam percik yang enak di pasar malam, tetapi untuk mencadangkan ayam percik itu kepada Jawatankuasa Majlis Perpisahan tidak akan saya lakukan.

Saya teringat Atok Abah berpesan agar tidak mengambil kesempatan demi kepentingan peribadi. Hakikat sebenarnya iblis meronta-ronta dan syaitan merasuk sehebat-hebatnya di dalam diri.

"Cadangkan ayam percik. Kenapa mesti satay? Tidakkah kita mahukan kelainan?"

Namun, saya tidak melayan bisikan syaitan.

Sepanjang saya menjadi pembantu kedai di warung Ucu Zainon, terdapat kata-kata yang tidak sedap di dengar dari pengunjungnya.

"Wah..bila awak mula bekerja di sini? Tidak lulus SPM lah ni..."

"Nanti kalau tidak lulus SPM..kawin dengan abang hendak tak?"


Itulah antara kata-kata yang sering di tuju main-main kepada saya. Senyum sahaja sambil mengelap meja atau memunggut gelas dan pinggan kotor. Walau hati di dalam terluka dengan kata-kata mereka.

"Ya Allah..tabahkan hati. Semuga kata-kata mereka tidak dimakbulkan oleh-Mu. Jadikan hari esok lebih baik dari hari semalam. Ya Allah..temukan jodohku yang lebih baik daripada mereka!"

Upah menjadi pembantu kedai di warung Ucu Zainon cukup untuk saya membeli sepasang seluar hitam dan sepasang seluar berwarna merah samar. Baju hitam? Baju kemeja abah sahaja. Ah! Siapa peduli. Lagipun siapa yang tahu. Hanya Allah.

Saya tenung dan lipat semula seluar panjang berwarna hitam dan masukkan ke dalam beg besar. Seluar berwarna merah samar? Bila pula saya berpeluang untuk memakainya. Saya akan mencari kemeja atau blouse rona warna yang sama. Pasti saya akan memakainya di suatu masa yang istemewa!


5 comments:

  1. Assalamualaikum

    Kalau lepas SPM selalu di kaitkan dengan kawin.
    Kenapa ye...
    Agaknya itu lah sempadan masa antara zaman sek dan zaman kawin...he..he..he..


    kak wati

    ReplyDelete
  2. Kawen lepas SPM?? Sekarang dh xlagi..ramai yg dh pandai2..universiti penuh dgn pelajar perempuan...pelajar lelaki ntah ke mana...leh ke yg lelaki kawen lepas SPM???=)

    ReplyDelete
  3. salam puan,

    sewaktu menunggu keputusan SPM, saya juga pernah menolong jiran sebelah rumah meniaga di kantin sekolah rendah setengah hari...sbb ptg nya p belajar menjahit...setiap hari kene buat donat...donat yg saya buat sama aje adunan ngan makcik or pembantu2 lain buat....yg peliknya...kalau donat yg saya buat tu mesti naik gebu...bak kata mereka...gebu (gemuk ;-)) cam tuan yg buatnya aje....hahaha...tp sekarang saya tak suka dah makan donat....muak dah gaknye dok tengok donat setiap hari dulu....hahaha

    ReplyDelete
  4. eh, bila kak roza mula bekerja di warung tu sebab majlis selepas kertas terakhir SPM kan? waktu minggu peperiksaan ke? waaah... terrer la kak roza! saya dulu kerja masa tunggu keputusan SPM. Jadi guru tadika madrasah yang berhampiran rumah. Ingat nak jadi guru volunteer je, tapi mereka bayar juga! Bangga betul masa tu dapat bawa balik duit beratus setiap bulan.. :)

    ReplyDelete
  5. Assalamualaikum D,

    Sejak awal tahun sebelum SPM kami sudah diberitahu akan majlis tersebut. Ia adalah seperti sambutan tahunan bagi sekolah. Cuma tema sahaja yang mengikut permintaan.

    ReplyDelete