Bacalah dengan nama tuhanmu yang maha mengetahui..



Tuesday, November 3, 2009

Riadah

Pagi itu seperti kebiasaan, semua ketua kumpulan berkumpul untuk menerima tugasan harian. Namun, jelas tergambar di raut wajah mereka seolah-olah semangat telah hilang melayang. Acara debat yang baru sahaja berlalu, merupakan suatu tamparan hebat. Kami benar-benar terkedu. Namun, akur dengan keputusan.

Tugasan pada hari itu adalah acara riadah. Kami di minta menyiapkan siri perlawanan acara bola sepak atau hoki untuk siswa dan acara bola jaring atau bola tampar untuk siswi. Ia sepatutnya merupakan suatu acara santai atau perlawanan persahabatan. Namun, kami duduk berbincang mengenai strategi perancangan untuk melakukan serangan balas daripada pihak siswa-siswi.

"He..he..he Kali ini kita kenakan pula pihak fasilitator! Setuju?"
"Setuju!!"
"Tetapi selepas itu kita berbaik-baik semulalah! Bukannya kita hendak membalas dendam"

Hari itu beberapa ketua kumpulan mencadangkan agenda pertandingan seperti yang kami bincangkan kepada pihak fasilitator. Mereka bersetuju. Apa kah yang telah kami lakukan?

Langkah pertama kami mengasingkan pemain-pemain yang pernah mewakil negara atau wakil negeri. Kemudian, kami asingkan pula pemain-pemain yang pernah mewakili daerah dan sekolah. Akhirnya, kami bertanyakan pula siswa dan siswi yang benar-benar "kaki bangku" dan sememangnya tidak pernah langsung berminat untuk turun ke padang.

Bagi golongan yang ke tiga, kami berpakat agar mengaku bahawa mereka adalah pasukan yang pernah mewakili negara di dalam berbagai acara sukan yang di anjurkan oleh majlis sukan. Manakala mereka yang benar-benar merupakan ahli sukan perlu mengaku bahawa mereka adalah "kaki bangku".

Pada petang itu, sebenarnya hati kami amat berdebar-debar. Mana tahu, pada asalnya memanglah pihak fasilitator bersetuju dan menerima idea yang kami cadangkan. Namun, kami bimbang kalau-kalau mereka mengubah fikiran di saat-saat perlawanan akan dimulakan.

"Assalamualaikum siswa-siswi. Sebagaimana yang kamu semua ketahui bahawa petang ini kita akan mengadakan acara perlawanan persahabatan di antara pihak siswa-siswa dan pihak fasilitator serta pengurusan ITM. Oleh itu, saya memohon sesiapa yang pernah mewakili negara atau mewakili sukan peringkat negeri..sila berkumpulan di sudut sana"

Lalu, kumpulan "Kaki bangku" tetapi kini telah dilebelkan sebagai "ahli sukan negara" bergerak bangun menuju ke arah sudut yang telah diarahkan. Mereka bergerak dengan lemah gemalai, tersipu-sipu malu dan beriring-iringan. Perlakuan mereka amat mendebarkan kami yang telah membuat pakatan.

"Kenapa lemah longlai sahaja pergerakan. Macam bukan seorang ahli sukan!"
Tidak semena-mena pihak fasilitator mengeluarkan kenyataan yang tidak kami jangkakan. Kami menahan nafas dan saling berpandang-pandangan. Di dada kami berombak kencang!

"Ah! Terlupa pula untuk berpesan agar mereka bergerak cergas dan pantas"
Saya memarahi diri di dalam hati. Saya percaya siswa-siswi yang lain juga tertanya-tanya serta mempertikaikan perlakuan mereka.


"Ok. Sesiapa di antara siswa-siswi di sini yang langsung tidak pernah memasuki
mana-mana acara sukan? Mohon ahli "kaki bangku" atau "kaki kerusi" atau sesiapa yang memang menyampah sungguh untuk menonton acara sukan. Sila berkumpul di sini"

Lalu, kumpulan yang telah diminta menjadi ahli "kaki bangku" melompat bangun dan bergerak pantas. Mereka kelihatan sihat, gagah perkasa, bersemangat dan amat bertenaga! Bertambah-tambah lagi debaran hati kami yang telah membuat rancangan jahat untuk mengenakan pihak fasilitator.

"Wah! Mengkagumkan..Siswa-siswi, siapa sangka ya..tubuh yang sihat bertenaga
seperti itu rupa-rupanya adalah "kaki bangku"..."
Ya Allah. Kali ini darah menyirap dan menyimbah ke muka kami. Terasa seperti sindiran itu tepat menuju ke arah kami. Namun, kami tabahkan hati. Membuat muka selamba yang mungkin. Seolah-olah tiada pakatan dan tiada apa yang perlu dicurigakan.

8 comments:

  1. assalammualaikum Roza,saya tak dpt nak jangkalah cita ni.Tapi saya ketawa besar bayangkan ahli2 penyamar tu..

    ReplyDelete
  2. akak rasa mcm cerita filem pulak...hahaha...tak sabar nak tau sambungannya...

    aya

    ReplyDelete
  3. hahahah....sungguh lucu....
    hidup kita ni satu ceritakan kak roza....:))

    ReplyDelete
  4. salam,

    hahahaha...puan, masih n3 puan kali nie...saya harap puan dapat memanjangkan n3 puan...tak puas baca...huhuhuhu....

    ReplyDelete
  5. Assalamualaikum

    'suspeng' betol



    Kak wati

    ReplyDelete
  6. puan roza,
    please panjangkan cerita ni...tak best lah kalau pendek-pendek je...tak puas den nak membacanya

    ReplyDelete
  7. Salam Kak Roza

    Ni 1st time tulis komen ni...x tahan sungguh bila baca citer akak...terkekeh2 saya. TQ TQ TQ sebab menceriakan hari saya & berjaya membawa para pembaca ke alam kenangan lalu akak.

    -KMY-

    ReplyDelete
  8. salam kak roza,

    tak sangka kak roza ni ada bakat jadi penglipur lara....lawak betul kisah2 kak roza...pandai kak roza menulis dan menggambarkan situasi sebenar....macam ni kalah prof kamil ni...

    Laila

    ReplyDelete