Bacalah dengan nama tuhanmu yang maha mengetahui..



Thursday, January 28, 2010

Kek Dundee

Dahulu Mak Wa, Wan dan mak adalah pakar rujuk masakan ketika di Malaysia. Kathy adalah panel penilai masakan saya di Dundee.

Setiap minggu saya tidak sabar menunggu kehadirannya. Biasanya beliau akan menyiapkan kerja mengemop lantai, mencuci bilik air, menukar cadar, vakum karpet dan mengelap tingkap. Beliau tidak akan bercakap-cakap sehinggalah selesai segala pekerjan.

“Hari ini saya mencuba resepi Apple crumble dan puff pastry”
Sambil tersenyum beliau menarik kerusi dan duduk dengan tertib. Perlahan-lahan beliau menjamah masakan yang saya hidangkan. Hati saya pasti berdebar-debar setiap kali mendengar komen yang keluar dari mulutnya. Biasanya ucapan yang keluar adalah terlalu telus dan tulus. Dan saya akan membetulkan serta menghidangkannya sekali lagi untuk di uji rasa.

“Deria rasa adalah anugerah tuhan kepada manusia. Deria itulah menentukan samada makanan itu sedap atau tidak. Namun, cara kita menghias dan menghidangkannya juga perlu diambilkira. Ia suatu seni untuk menambat selera”
Barulah saya faham kenapa daging panggang [beef steak] perlu kelihatan cantik di pandang apabila menghidangkannya selain daripada perlu menjaga rasanya.

Beliau juga sering melahirkan rasa kesalnya terhadap generasi muda yang sangat sukakan makanan segera. Pada pandangan beliau, masakan tradisi adalah budaya sesuatu bangsa yang unik dan ia akan membezakannya dengan bangsa yang lain. Ia perlu di pelihara.

Beliau juga menyatakan keperluan menjaga tertib dan protokol ketika di meja makan. Katanya rakyat britain pasti akan kehilangan jatidiri jika membenarkan budaya makan sambil berjalan.
Dari beliaulah saya belajar melakukan beberapa pekerjaan di dalam suatu masa terutamanya ketika menyediakan makanan untuk keluarga. Beliau adalah guru pengurusan rumah tangga ketika di luar negara. Saya bersyukur kepada Allah kerana mentadirkan untuk bertemu dengannya.

Di antara pelajaran yang tidak saya lupakan adalah bagaimana beliau mengajar saya menyediakan hidangan yang kelihatan istemewa kepada keluarga tanpa memerlukan masa yang panjang. Resepi ayam panggang.
“Perap ayam pada sebelah malam dan simpan di dalam tempat pembeku. Keesokannya, biarkan pada suhu bilik. Sementara menunggu ayam di panggang, rebuskan kentang, sediakan sayur. Sayur hanya perlu di celur apabila sampai waktu makan”
Beliau juga mengajarkan pelbagai jenis sup krim yang boleh diubah-ubah mengikut sayuran yang digunakan.

“Asasnya adalah sama. Bezanya cuma sayuran sahaja. Jika awak masukkan cendawan, lalu ia menjadi sup cendawan. Jika brokoli, ia menjadi sup brokoli"
Katanya lagi, jangan bazirkan haba panas dari ketuhar atau plate panas yang digunakan untuk memasak makanan. Lalu, ia mengajar saya sejenis kek yang hanya perlu dicairkan bahan-bahannya di atas dapur setelah api plate panas di padamkan. Resepi Boiled fruit cake.

“Ketuhar memerlukan tenaga yang banyak ketika kita menggunakanya. Jadi, rancanglah beberapa jenis kek untuk di bakar bagi sesuatu masa. Barangkali awak boleh membuat dua atau tiga biji kek untuk sekali bakar”
Suatu yang paling terkesan di hati apabila beliau menghadiahkan saya resepi istemewa keluarganya. Ia adalah sejenis kek tradisi orang-orang Scotish. Katanya ia amat popular ketika zaman datuk neneknya. Suatu masa dahulu, kek itu menjadi suatu kebanggaan masyarakat tempatan. Ia pasti terhidang di atas meja ketika sesuatu perayaan keluarga. Resepi kek Dundee.

Saya melihat beliau bercerita dengan penuh semangat dan perasaan bangga. Namun, di akhir cerita saya nampak kesedihan terpapar jelas di wajahnya.

“Tiada siapa lagi yang mahu peduli masakan tradisi. Tidak seperti zaman dahulu. Zaman datuk dan nenek saya”
Serta merta saya teringatkan Mak Wa dengan wajik, dodol, lempuk durian dan halwa maskatnya. Mak Wa juga pernah mengacau isi manggis dan cempedak menjadi lempuk. Keledek dan labu menjadi sejenis kuih kacau. Tidak pernah terfikir di hati untuk menyambung resepi tradisi itu. Entah, jika ditakdirkan saya pulang ke tanah air tercinta, sempatkah saya berjumpa dengan Mak Wa? Sempatkan saya mempelajari kuih tradisi itu darinya?

5 comments:

  1. Kak Roza,

    Terima kasih di atas resepi2 kek ni. Saya sangat menghargainya. Akak still contact dgn kathy lagi sampai ke hari ini ke? Maha suci Allah, sekiranya niat kita baik... insyaallah kita pasti akan ditemukan dengan orang baik2 disekeliling kita.

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum Puan Roza,saya setuju dengan kathy. Betullah anak anak sekarang tidak berminat dengan resepi tradisi datuk nenek.Tengoklah sebagai contohnya di hari raya kebanyakannya memilih kuih muih,biskut moden. Teringat zaman anak anak berhari raya di rumah opah, terdapat bermacam macam kuih seperti putu kacang. dodol, kuih bangkit, kuih sagun, halwa.Indahnya kenangan bersama opah, bak kata Allahyarham P.Ramlee, apakan daya masa takkan kembali. Salam hormat dari Dilla

    ReplyDelete
  3. Kak roza,
    blh bg resepi sup krim kepada saya tak?

    ReplyDelete
  4. Salam Puan Roza,
    Terima kasih resepi kek Dundee n boiled kek..xpernah saya mencubanya...betul tu puan...resepi tradisional semakin dilupakan...resepi yang saya buat menjelang hari raya setiap tahun..."Rempeyek".Fvts suami...walaupun mengambil masa yang lama untuk menyiapkannya namun sangat berbaloi kerana suami sangat sukakannya.Seronok sangat membaca blog puan..terutama pasal masakan...selalu sya hanya berkongsi di fb shj.

    ReplyDelete