Bacalah dengan nama tuhanmu yang maha mengetahui..



Sunday, March 7, 2010

Noel

Sedang kami rancak berbual, terdengar deringan loceng di pintu. Muncul seorang rakan yang saya kenali berasal dari Barcelona, Sepanyol bersama suaminya. Di Barcelona, dia adalah seorang doktor gigi. Dia mengikut suami melanjutkan pelajaran di peringkat PhD.

Rakan itu walau tidak fasih berbahasa Inggeris namun faham dengan percakapan yang kami tuturkan. Sesekali si suami menerangkan tentang butir perbualan kami pada isterinya di dalam bahasa ibunda mereka.

Ruth menjemput kami semua ke ruang makan. Di atas meja segala jenis makanan telah terhidang sebagaimana yang saya lihat di dalam kaca televisyen. Ada seketul ayam turkey yang besar, ada sebiji kek krismas yang sederhana besar siap dengan daun diatasnya.

Pinggan mangkuk, gelas, sudu, pisau serta garfu dialas kemas bersama napkin tergulung rapi. Ia kelihatan cantik tersusun seperti hiasan restoran di hotel. Beberapa batang lilin terpasang diletak cantik diatas meja menambah keharmonian suasana.

Ruth mulakan dengan pembuka selera yang dimasukan ke dalam gelas berkaki. Ia sejenis udang rebus bersama salad direnjis sos Thousand Island dikenali sebagai Prawn cocktail. Diikuti dengan pilihan sup cendawan atau sup labu berkrim.

Setelah hidangan pembuka selera selesai, hidangan utama disajikan. Suami Ruth memasukkan set ayam turkey bersama kentang panggang ke dalam pinggan. Dihulurkannya pada tetamu satu persatu. Manakala untuk kami disediakan sejenis ikan panggang [bake fish] bersos keju bersama sayuran leeks ditaburkan keju mozarella diatasnya.

Masing-masing menunggu sehingga setiap orang menerima hidangan yang disajikan. Apabila semua telah menerima set hidangan masing-masing, bapa Ruth tunduk membaca doa sebelum makan. Yang lain mengaminkan.

"Ya Allah, kalaulah mereka itu diberikan taufik dan hidayah.. Alangkah baiknya jika mereka tahu bahawa kepercayaan yang dipegang itu tidak memberikan menafaat apa-apa. Kalaulah mereka tahu yang mereka telah disesatkan, pasti mereka datang secara berlari mencari jalan hakiki"

Hati berdetik. Menyesali tindakan kaum yang boleh berfikir tetapi tersesat kerana ikutan adat serta keturunan nenek moyang. Lalu, saya bersyukur kerana dilahirkan sebagai Islam. Walau jarang sekali saya bersama suami membaca doa sebelum makan apabila menghadap makanan. Apatah lagi membaca doa mensyukuri nikmat yang terhidang diatas meja selepas selesai menikmatinya. Bagaimana mungkin ia berlaku jika itu bukannya amalan kita!

Setiap kali mereka memperkenalkan sejenis makanan, pasti mereka menyatakan apakah bahan yang digunakan. Mereka juga menceritakan bagaimana penyediaan makanan itu dilakukan. Barangkali ia bagi memastikan agar kami yakin dengan apa yang dimakan.

Akhirnya hidangan itu disudahkan dengan pencuci mulut. Untuk mereka, kek puding buah atau kek krismas dihidangkan. Menurut Ruth, di dalam kek krismas itu terdapat campuran lelemak haiwan dan ia perlu dicurahkan brandy untuk melembabkannya. Sebelum kek itu dipotong, mereka menghalakan pemetik api di atasnya. Serta merta api menyambar membakar permukaan kek krismas.

Untuk kami sekelurga, Ruth menyediakan kek lobak merah. Sekali lagi beliau memberitahu tentang penyediaan bahannya. Semasa saya menyuap suapan ke dua, terasa gigi tergigit sesuatu.

"Wang siling? Kenapa ia ada di dalam kek ini?"

"Oh, itu adalah satu simbol yang menunjukkan awak bertuah!"

"Ha..ha..Ruth, saya akan lebih bertuah jika awak masukan 100 pound!"

Rupa-rupanya mereka juga mempercayai perkara karut-marut seperti "Lucky Star". Ia disudahi dengan menarik mercun [cracker] bersama-sama dengan cara menyilangkan tangan.
"Pop!," terdengar letupan serta tersembul keluar racikan kertas terbang berteraburan.

Saya kira itulah pertama kali kami menghadiri dan menikmati hidangan makan malam yang panjang sehingga hampir empat jam! Sepanjang kami menikmati hidangan itu, hanya segelas air jus buahan sahaja disediakan oleh mereka.

Beberapa hari kemudian apabila berkongsi cerita dengan rakan-rakan barulah kami tahu rupa-rupanya budaya mereka tetamu harus datang bertandang serta membawa sebotol minuman!

4 comments:

  1. Salam Roza

    Nampaknya Roza ni hebatlah...kawan dr seluruh dunia!

    Moga bahagia.

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum mama ju,

    Berkawan biar beribu..pasti ia mengajar kita sesuatu.

    ReplyDelete
  3. Salam puan,

    Biasanya membaca doa sebelum makan ini amalan orang yahudi. Ini kerana orang yahudi cukup jaga tentang makanan. .cara menyediakan makanan , adab makan dll kebanyakan mengikut sunnah. wassalam

    ReplyDelete
  4. Anonymous,

    Jika mereka beriman, tidak sombong dan bongkak kepada Allah, pasti mereka mendapat keredaan-Nya.

    Bezanya, orang Islam melakukan sesuatu dengan niat kerana Allah semata-mata.

    Oleh itu, lafazlah Bismillah hirrahman nirahim apabila memulakan sesuatu pekrjaan.

    ReplyDelete