Bacalah dengan nama tuhanmu yang maha mengetahui..



Monday, March 22, 2010

Musim bunga

Musim berganti, tiba-tiba suasana bertukar ceria. Burung-burung berkicau-kicauan. Pokok-pokok mulai mengeluarkan pucuk-pucuk muda. Tumbuhan bunga bebawang tiba-tiba muncul di mana-mana. Cantik menawan. Musim bunga menjelma!

Pada masa yang dijanjikan, kami sekeluarga bercuti ke bandar metropolitan London dengan menaiki keretapi. Dari Dundee ke London kami terpaksa menukar keretapi di Crew, England. Kemudian meneruskan lagi perjalanan. Untuk memudahkan urusan turun naik keretapi, kami suami isteri masing-masing membawa beg sandang.

Subhanallah! Sepanjang perjalanan saya memuji-muji melihat kecantikan hamparan bumi ciptaan Allah SWT. Ladang-ladang menghijau dipagari batu-batu teguh berdiri diselang-seli dengan pokok-pokok besar sebagai pembahagi sempadan. Kambing biri-biri dari kejauhan kelihatan seperti ketulan putih diatas padang yang luas saujana mata memandang. Ada longgokan rumput-rumput yang digulung cantik terkumpul ditengah.



Little House on the Prierie…” Saya berbisik dalam hati.


Rata-rata setiap ladang dipenuhi dengan tumbuhan yang sedang cantik berbunga. Pokok-pokok Cherry Blossom berwarna merah samar kemerahan sedang cantik berkembang. Dari jauh ia seperti kehilangan daunnya sama sekali. Sesekala kelopaknya berterbangan apabila di tiup angin sepoi bahasa.

Rumah Cottage peladang di pinggir sempadan kelihatan teguh berdiri, berasap di cemni dan dikelilingi oleh pohon bunga-bungaan yang sedang berkembang - Defoddil, Levernda, Blue Bells, Azalea dan pelbagai bungaan tempatan. Di pagar batu pohon ivy segar menghijau dan dinding serta bumbung rumah mereka dilingkari oleh pepohon bunga ros yang memikat hati.

Mahasuci Allah! Hijaunya padang di negara orang.

Perjalanan ke London mengambil masa hampir satu hari. Kami terus mencari rumah tumpangan Bed and Breakfast [B&B] dikaunter perlancungan terminal stesyen keretapi. B&B kami letaknya berhampiran sekali dengan Hyde Park. Dari Hyde Park kami melintasi Kensington Gardens untuk melihat Royal Albert Hall yang terkenal.

"Arwah Sudirman Hj Arshad pernah menyanyi disini.."

Setiap malam kami merancang destinasi perjalanan kami untuk keesokan paginya. Dengan peta kota London yang besar, kami bentangkan di atas katil, lalu kami catatkan laluan. Ada masa kami menaiki laluan metro di bawah tanah, ada masanya kami menaiki bas dan ada masanya kami berjalan kaki.

Kami sengaja singgah di Knightbridge dengan berpakaian sut yang kemas untuk melawat ke gedung membeli belah mewah di Harrods. Untuk memasuki gedung itu terdapat etika pakaian yang ditentukan oleh pihak pengurusan. Mana-mana pakaian yang tidak memenuhi kriteria tidak akan dibenarkan memasukinya.

Dengan sut itu kami pergi ke tempat pameran wax yang terkenal di Madame Tussaud’s. Patong-patong orang kenamaan dipamerkan seolah-olah begitu hidup di pandang mata. Namun, pernahkan ada manusia yang berjaya menghidupkannya?

Teringat terjemahan surah Al-Kahfi, bagaimana Allah memberikan peringatan kepada manusia dengan cara menidurkan beberapa pemuda yang beriman bersama anjing mereka di dalam gua. Hampir 300 tahun mereka ditidurkan bahkan mereka merasakan seolah-olah baru setengah hari sahaja. Bukankah untuk membangkitkan manusia semula untuk di hisab di padang Mahsyar itu sesuatu yang mudah bagi yang Maha berkuasa?

7 comments:

  1. makin membuak-buak perasaan untuk pergi melancong ke negara orang bila baca cerita kak roza..namun apakan daya, fulus belum ada...

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum ibuaiman,

    Setelah jauh berjalan, perasaan itu samasekali tidak dapat menandingi perasaan pertama kali menjejakkan kaki ke tanah suci..Baitullah dan Madinah.

    Berdoa dan niatlah agar dijemput Allah untuk menjadi tetamu-Nya yang istemewa..

    ReplyDelete
  3. Kak Roza,
    Melancong di UK memang seronok - aman, damai dan menyegarkan! Bagi saya sekarang, ramai rakan2 sering bertanya, 'tak (bercadang) bercuti ke Eropah ke?'

    Tapi di dalam hati saya tiada perasaan ingin melancong (lagi). Entahlah, mungkin kerana sudah puas berjalan ketika muda dulu (undergraduate) atau mungkin kerana isu wang, atau mungkin juga kerana tiada 'bestfriend' lagi di sisi. Betullah Kak Roza... yang saya mimpikan hanya untuk ke rumahNya...

    ReplyDelete
  4. Assalamualaikum D,

    Semuga Allah mengabulkan impian dan bisikan hati untuk dijemput ke rumah-Nya

    ReplyDelete
  5. Assalamualaikum

    Subhanallah, terkasima membayangkan keindahannya dari cerita Roza.



    Kak wati

    ReplyDelete
  6. Assalamualaikum Roza,
    Lama dah saya tak menjengah blog Roza. Bila tengok wah! Bagaikan membaca novel pulak. Memangnya kita sentiasa kagum dengan apa yang kita tak ada, tapi saya begitu bangga bila seorang pelancong dari Germany asyik memuji-muji kehijauan "semak" negara kita masa dalam perjalanan keretapi kami dari Singapura ke Kuala Lumpur satu masa dulu.

    Laa, saya tak tahu Prof Kamil dah tukar url blog dia. Itulah saya kehairanan kenapa dia tak tulis entry baru, rupanya saya yang silap tak update url baru dia dalam blog saya, hehehe.

    ReplyDelete
  7. Saya setuju dengan Kak Roza. Saya telah tinggal di Australia setahun, melawat ke UK dan melawat New Zealand,tetapi perasaan menjejakkan kaki ke Mekah dan Madinah adalah dalam ranking yang teratas sekali sehingga saya rasa alangkah bahagianya dapat tinggal terus di sana.

    ReplyDelete