Bacalah dengan nama tuhanmu yang maha mengetahui..



Wednesday, March 24, 2010

Tersedu di London

Sepanjang percutian, saya terkedu. Mulut terus membisu. Namun, jauh disudut hati saya berbisik:
"Ya Allah. Tuhan yang maha berkuasa, yang memberikan ilham kepada manusia untuk membina bangunan yang indah tersergam.


"Wahai tuhan, yang menjadikan fikiran dan tamadun manusia itu berbeza antara satu benua dengan satu benua. Sesungguhnya daku bersyukur kepada-Mu kerana meminjamkan waktu pada ku pada hari ini untuk daku berada di sini."

Sedangkan lebah diberikan ilham oleh Allah, inikan pula manusia yang dikurniakan akal fikiran.
"Dan Tuhanmu memberi ilham kepada lebah: "Hendaklah engkau membuat sarangmu di gunung-ganang dan di pokok-pokok kayu, dan juga di bangunan-bangunan yang didirikan oleh manusia.

Kemudian makanlah dari segala jenis bunga-bungaan dan buah-buahan (yang engkau sukai), serta turutlah jalan-jalan peraturan Tuhanmu yang diilhamkan dan dimudahkannya kepadamu". (Dengan itu akan keluarlah dari dalam badannya minuman (madu) yang berlainan warnanya, yang mengandungi penawar bagi manusia (dari berbagai-bagai penyakit). Sesungguhnya pada yang demikian itu, ada tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) bagi orang-orang yang mahu berfikir. [Surah Al-Nahl: ayat 68-69]
Kami asyik menyaksikan askar di raja Istana Buckingham yang bertopi tinggi menutup mata, jinak-jinak merpati yang mengerumuni dataran Trafalgar Squre, Westminster Abbey dan beberapa tempat menarik yang lain.

Kami menaiki bas persiaran. Bas merah dua tingkat. Di sana sini pondok-pondok telefon berwarna merah amat memikat. Ia bagaikan gambar yang pernah dilihat di dalam poskad.

Sampai di Tower of London [castle yang agak besar] mata saya terpaku melihat jambatan gantung yang mashyur tersergam indah di sisi. Saya fikir ia adalah London Bridge sehinggalah pemandu pelancung menyatakan bahawa jambatan itu dinamakan Tower Bridge.

Tiba-tiba, saya mengimbau kenangan beberapa tahun yang lampau. Teringat kepada sekeping poskad yang di kirim oleh sesaorang yang tertulis di atasnya ,”Greetings From London”.

"Ya Allah! Subhanallah..sampai juga daku ke sini dengan izin-Mu"
Poskad yang sekian lama disimpan dalam diari. Poskad yang mendekatkan diri kepada illahi. Ajaibnya, ia berjaya membuatkan saya percaya Allah mendengar bisikan hati. Kuasanya membuatkan saya kuat berdoa dalam hati supaya suatu hari nanti Allah mengizinkan saya pergi.

Suatu ketika dahulu, poskad itu telah membuatkan saya memasang angan-angan. Memohon kepada Allah supaya suatu hari nanti dapat melihat sendiri semua tempat yang ada dalam poskad itu. Menjejakkan kaki, menghirup udara dan menyentuh bangunan yang ada didalamnya. Jika tidak dengan kudrat sendiri, saya meminta-minta agar dapat pergi bersama suami.

Tanpa disedari air mata mengalir perlahan mengenangkan kuasa tuhan yang menentukan segalanya. Tidak pernah sedikitpun terfikir bahawa detik hati budak perempuan kampung yang pernah suatu masa dahulu mengkagumi jambatan itu hanya melalui kiriman sekeping poskad. Akhirnya Allah mengizinkannya untuk menjejakkan kaki ke situ!

Mahasuci Allah yang mendengar isi hati.

1 comment:

  1. Salam Roza,

    Jauh berjalan luas pandangan. Bertuah Roza diberi nikmat merantau.

    Firman Allah swt:

    "Maka tidakkah mereka menjelajah dunia sehingga terbentuk hati yang sedari dengan itu mereka dapat memahami erti hidup atau mereka benar-benar mempunyai telinga yang dengannya mereka dapat mendengar? Kerana sesungguhnya buta yang sebenar bukanlah buta di mata tetapi ialah yang ada di dada" (Al-Hajj:46)

    FirmanNya lagi:

    "Tidakkah mereka telah berjalan dan mengembara di muka bumi, dengan itu tidakkah mereka memerhatikan bagaimana kesudahan orang-orang yang terdahulu dari mereka? Orang-orang itu adalah orang-orang yang lebih dari mereka tentang kekuatan tenaga dan tentang kesan-kesan usaha pembangunan di muka bumi. Maka sekalipun demikian, Allah binasakan mereka dengan sebab dosa-dosa mereka dan tiadalah bagi mereka sesiapapun yang dapat menyelamatkan mereka dari azab Allah." (Ghafir:21)

    Subhanallah, Allahuakbar.

    ReplyDelete