Bacalah dengan nama tuhanmu yang maha mengetahui..



Tuesday, April 19, 2011

Berlalunya Ben 10..

Setahun yang lalu saya pernah menulis entri tentang anak lelaki sulung arwah Ayu, Latif Hakimi yang mengelar dirinya sebagai Ben 10.

Entrinya berbunyi begini:

Kelmarin, Ben 10 kelihatan semakin tinggi, semakin matang dan semakin cekap mengendalikan komputer uminya. Petah kata-katanya semakin ketara. Bersama Ben 10, duduk di atas ribanya adalah adik lelaki yang baru berusia 2 tahun, Rafiqi.

"Adik Rafiqi, duduk elok-elok sikit, abang tengah hendak menang main game ni.."

Lalu, si adik mendengar kata. Duduk, asyik memerhatikan si abang mengendalikan punat-punat permainan komputer. Hadiah dari umi, umpan penawar duka untuk seketika di siang hari.

"Adik..tolong ambilkan abang air sejuk di dapur. Haus pulak tekak abang main game ini"

Hairannya, si adik cepat bingkas bangun dari ribaaan seolah-olah faham dengan arahan abang. Sebentar kemudian, si adik menghulurkan botol susu yang separuh sejuk kepada si abang.

Apabila malam hari, Ben 10 tidak banyak kerenah apabila diarah atok dan nenek supaya tidur. Sambil menyarap di atas tilam uminya, mulut Ben 10 bertanya neneknya;

"Nenek, betulkah kata kawan-kawan disekolah, bila besar nanti abang tidak ada umi?"

"Sudah, pergi tidur. Abang baca banyak-banyak fatihah untuk umi."

Si adik pula kelihatan resah gelisah. Berguling-guling di atas tilam, menahan mata. Botol susu yang dihulurkan oleh nenek, dicampaknya. Tiada banyak perkataan yang keluar, namun mata bundar itu sayu memandang nenek seolah-olah berkata:

"Nenek, adik mahukan umi..."

Kadang-kadang adik menarik tangan nenek, mengajak keluar menunggu umi di muka pintu. Duduklah nenek bersama cucu, menunggu uminya sehingga malam semakin larut. Tanpa sedar, mata bundar itu semakin mengecil, tersenggut-senggut lalu tertutup.

Esok, pasti tangan nenek di tarik lagi. Menanti dan terus menanti umi di malam hari di muka pintu. Menanti dengan rasa rindu. Sesekala mata bundar itu merenung nenek, seolah-olah berkata;

"Nenek, tidak pulangkah umi malam ini..?

Tahun 2011.

Dua hari selepas umi Ben 10 dikebumikan, saya membelikan mereka dua beradik sepasang baju. Si adik saya belikan baju jenama "Ben 10" dan si abang baju bola pasukan Chelsea.

" Hakimi, baju Ben 10 tiada saiz awak...jadi mama belikan baju itu."

"Mama, saya suka pasukan "Man U". Lain kali belilah yang warna merah.."

Terkedu. Betapa anak itu sudah membesar.

Semalam, selepas sembahyang berjemaah, kami menasihatkan Ben 10 agar mendoakan uminya. Kata Ben 10;

"Kalau saya berdoa untuk umi...bolehkah umi hidup lagi?"

"Tidak. Doakan umi dirahmati Allah. Boleh jumpa umi di akhirat."

"Kalau begitu.. minta-minta ceptlah hari kiamat. Supaya cepat saya bertemu umi di akhirat."

Sementara itu, si adik Ben 10 sibuk mendail telefon sambil meletakkan gangangnya ke telinga. Lalu, mak memunjuk si adik sambil bertanya;

"Adik Fiqi mahu telefon siapa?"

"Telefon umi...."

Kami terkedu lagi.

14 comments:

  1. Assalamualaikum Kak Roza. Takziah atas kematian adik akak. Baru semalam saya membaca mengenainya di blog Prof. Bergenang air mata membaca tulisan Kak Roza, terasa saya juga turut kehilangan orang yang disayang seperti Kak Roza dan adik-beradik Ben 10, Hakimi dan Rafiqi. Semoga ruh arwah Ayu akan tenang di alam barzakh dan semoga anak-anak arwah membesar menjadi anak-anak soleh yang sentiasa mendoakan ummi mereka.

    ReplyDelete
  2. Ya Allah, rahmatilah kedua anak2 ini. Kurniakanlah kepada mereka hidup yang penuh dengan kasih sayang. Kurniakanlah kepada mereka orang-orang yang menyayangi mereka seperti ibu mereka. Rahmatilah hidup mereka di dunia dan di akhirat. Hantarkanlah Malaikat2 buat peneman mereka di kala sunyi, di kala kerinduan, di kala hati mereka sepi. Lorongkanlah mereka hidup yang benar dan diredhai. Jadi kanlah mereka anak2 soleh ya Allah.. Amin Ya Allah.

    Semoga roh Rahayu Roslan tidur dengan lena, semoga rumahnya sejuk dingin di sana.

    ReplyDelete
  3. Salam Roza,

    Sangat menyentuh perasaan. Semoga anak-anak arwah adinda Ayu dilimpahi kasih sayang daripada keluarga dan orang-orang di sekelilingnya....

    ReplyDelete
  4. puan

    saya sgt terkesan dgn entry ni,doa sy smg kalo ditakdirkan ALLAH mahu mengambil nyawa saya-biarlah anak2 saya memahami soal hidup & mati dahulu..sedih sgt rasanya !!

    ReplyDelete
  5. Salam..Puan/keluarga..saya berharap agar hubungan Puan dan seluruh keluarga tidak terputus dengan dua beradik ini...salam takziah...Dilla

    ReplyDelete
  6. Salam Pn Roza,

    kedua-duanya anak2 yang cerdik, berkat didikan umi dan ayahnya.
    beruntung punya tuk nenek dan pakcik makcik yg penyayang..insyallah mereka akan cepat faham, smg menjadi anak2 yg soleh.

    ReplyDelete
  7. Salam Sejahtera Pn Roza,

    Apabila Pn Roza seisi keluarga berhijrah ke Madinah nanti peluang untuk berjumpa dengan dua beradik ini entah Tuhan sahaja yang tahu tapi doa Pn Roza seisi keluarga untuk mereka ketika berada di Madinah dan Mekah tiada nilainya untuk kebahagiaan dan kesejahteraan mereka berdua.
    Mereka akan menemui Umi di syurga dalam lingkungan umur yang sebaya dengan Umi menurut hadis..itulah kebesaran Allah

    hzm

    ReplyDelete
  8. Saya menangis, situasi yang hampir sama 20 tahun lalu.

    Salam Takziah, semoga anak yatim itu tabah. Al Fatihah.

    ReplyDelete
  9. berapa usia Ben 10 dan adiknya? mrk kehilangan ibu pada usia yg masih muda.. ah, sedih dan pilu jadinya begitu.. teringat semasa usia saya 7 tahun; baru masuk sekolah rendah pd bulan Februari, emak saya pergi selama-lamanya. saya tertanya, kenapa orang ramai bagi duit kepada saya?

    ReplyDelete
  10. A'kum kak..

    Bergenang air mata baca kisah mereka..memandangkan anak-anak saya juga masih kecil, 4, 3 dan 1 tahun. Saya tabahkan hati untuk membaca kisah ini, namun tak dapat nak gambarkan setabah mana mereka yang sedang mengharunginya itu.. Ya Allah.. tabahkanlah hati hamba2mu itu..berkati dan rahmatilah mereka..Amin..

    Terima kasih

    ReplyDelete
  11. adiknya ben 10 sebaya dengan anak saya...sedihnya..kecil2 lagi dah kehilangan umi..semoga mereka berdua menjadi anak yg soleh!amin!takziah utk kak roza & keluarga...

    ReplyDelete
  12. Aduhai menitis airmata membaca kisah anak2 ini. Part yang tunggu umi tu yang tak sanggup nak baca. Takziah untyk puan sekeluarga. Semoga ujian ini menjadikan anak2 itu tabah..

    ReplyDelete
  13. sy ucapkan takziah buat roza dan keluarga. semestinya sy jua tersentuh membaca entry ini. menangis sy. semuga rohnya dicucuri rahmat dan Allah memberkati Hamiqi dan Rafiqi.

    ReplyDelete