Bacalah dengan nama tuhanmu yang maha mengetahui..



Thursday, May 26, 2011

Masakan cina

Dahulu, sewaktu menerima tawaran bekerja di tempat pertama di Subang Jaya, saya berkawan rapat dengan Carol Chong. Dia rakan sepejabat yang membela saya ketika di buli oleh rakan yang lebih senior. Dia sama-sama menemani saya tinggal di pejabat sewaktu rehat.

Setiap hari ibu Carol menghantar sebekas bekalan makanan untuk anak perempuannya ke pejabat. Bekas makanan itu ada empat tingkat semuanya. Tingkat pertama berisi nasi atau bubur, tingkat kedua berisi sup, tingkat ke tiga berisi daging atau ayam dan tingkat terakhir berisi sayur.Setiap kali menikmati makanan tengahari, Carol berpesan :

"Saya makan daging hari ini. Awak jangan pandang"

Namun, dia selalu mempelawa lauk ikan dan sup sayurnya. Katanya itu halal. Saya tersenyum, mengucapkan terima kasih sambil menolak pelawaannya walaupun masakan itu nampak sangat menyelerakan. Sup panas itu berwap-wap.

Ketika bekerja di tempat ke dua, saya bertemu dengan Cyindy dan Tey. Cyindy berkulit sawo matang, nampak seperti perempuan melayu dan Tey adalah nyonya Melaka. Mereka sangat fasih berbahasa melayu. Masing-masing tidak kekok bergaul dan sering keluar makan tengahari dengan rakan sepejabat berbangsa melayu.

Apabila bertanyakan resepi masakan cina, mereka segera mencatatkannya. Kata mereka, asas masakan cina adalah bawang putih yang ditumis. Kemudian di tambah perasa - sos oyster, perasa ayam dan minyak bijan. Api kena kuat dan dimasak dengan cepat. Akhirnya untuk memekatkan masakan, campur sedikit tepung jagung yang dibancuh dengan air.

Di Kuching Sarawak, saya bertemu pula dengan Pearly Jenny dari Miri. Suaminya membuka restoran BBQ steamboat. Apabila membuat kerja-kerja audit di Miri, Pearly beriya-iya mempelawa saya ke restoran suaminya. Katanya sup atau tomyam steamboat mereka menggunakan stok segera "Maggi".

"Ramai orang melayu datang makan di sini. Steamboat kami halal. Semuanya makanan laut dan hanya menggunakan bebola ikan, sotong serta udang."

Benar. Memang ramai melayu yang datang makan di restorannya tanpa silu dan segan. Saya serba salah, mata mencari-cari tanda jaminan "Halal" yang sah. Namun, bagi mengambil hatinya saya minum teh cina sebanyak-banyaknya.

Di Malaysia, barangkali jaminan "Halal" dikawal rapi dan disahkan oleh pihak berkuasa. Tetapi bagaimana pula jika kita makan masakan cina di luar negara? Apakah pertimbangan kita?Apakah wakil agensi pelancungan benar-benar dapat mengesahkan itu adalah pakej makanan halal yang telah disahkan dan dijamin oleh agama?


Tepuk dada, tanya lah selera!

8 comments:

  1. Teringat sup telur dengan sehelai sayur sawi.. Itulah resepi utama Beijing.

    ReplyDelete
  2. Aslkm Roza

    Alhamdulillah mcm cendawan tumbuh restoran cina muslim di Malaysia. Saya nak try kedai baru kat sebelah putrajaya nampak menarik!

    ReplyDelete
  3. Salam Sejahtera Pn Roza,

    Terkenang kembali sewaktu menghadiri kenduri kahwin anak kepada abang ipar saya di sebuah golf resort selain dari makanan biasa kenduri, hadirin telah dihidangkan juga dengan masakan istimewa dari warga Muslim dari negara China (abang ipar saya baik dengan Presiden Persatuan Muslim Cina Selangor) iaitu mee yang dibuat dengan tangan,diuli-uli,ditarik-tarik jadilah mee(siapa yang pertama kali tengok pasti kagum). Mee ini dimakan dengan kuah sup.Hidangan istimewa kedua ialah kambing panggang cara warga Muslim China.

    hzm

    ReplyDelete
  4. Allhamdullah...berselera makan...ada yang tak minat manu cina

    ReplyDelete
  5. Salam Puan...memang benar makanan cina tidak semuanya halal,walaupun 100% tanpa daging,walaupun tiada khinzir sekali pun,seboleh bolehnya makanlah masakan orang muslim yang membaca Bismillah sebelum memasak.Saya tinggal di luar negeri[kafir],tetapi saya nampak ramai juga orang orang arab[bertudung ada juga] yang memasuki restoran2 cina disini.lmam dimasjid selalu berpesan sebelum makan tanyalah diri sendiri samada makanan ini halal atau sebaliknya,beliau selalu berpesan berhati2 dengan apa yang dimakan,sebab kadang2 manusia ini suka menggunakan alasan 'berada di luar negeri'jadi dikira darurat.Allahuallam.Dilla

    ReplyDelete
  6. Salam Puan Roza,
    Baru sahaja menjamu rakan yang datang ke rumah dengan steamboat(31stMay).Resepi steamboat ni pemberian jiran cina sebelah rumah.Puan suka steamboat?

    ReplyDelete
  7. Makan je lahhh. Ikut kata selera. Apa susah sangat. Hati kata makan. Makanlah. Tak apa...Nak ikut dunia dapatlah dunia. Nak ikut akhirat dapatlah akhirat.Senang aje.

    ReplyDelete
  8. Makan dimulakan dengan Bismillah...Dengan nama Allah :)

    ReplyDelete