Bacalah dengan nama tuhanmu yang maha mengetahui..



Thursday, May 12, 2011

Salam sejahtera.. relakan kami pergi.

Kepok pusara abah dan Ayu selamat di pasang. Nama dan tarikh terakhir hayat mereka tertera di batu nisan itu. Pusara mereka bertanda.

"Abah, barangkali ini khidmat terakhir saya. Esok-esok barangkali saya tidak dapat ke sini lagi. Namun, doa saya untuk abah tidak pernah putus walaupun dari jauh. Abah sentiasa di hati saya

"Abah..barangkali sudah terlambat bagi saya mengucapkan terima kasih kerana menikahkan saya walau ketika itu dalam usia yang sangat muda. Saya pegang kata-kata mak wa, "Suami itu anugerah Allah." Benar, sehingga kini dia menjaga saya dengan baik sekali."

Dahulu, di malam pernikahan saya pernah mencatat sekeping nota ringkas pada abah di dalam hati. Nota yang menyatakan, selain abah..suami adalah lelaki yang mahu saya menangi hatinya. Saya lakukan itu kerana dia anugerah Tuhan yang maha pengasih lagi maha penyayang. Lalu kerana amanah Allah, saya redha sebagai seorang isteri dan ibu kepada anak-anaknya. Kini.. saya hanya tingga dia. Yang entah berapa lama lagi saya dapat bersamanya.

Bertahun-tahun saya merantau di tempat orang mengikut suami , tahukah abah saya tidak putus berbisik kepada Allah yang maha mendengar supaya diberikan kesempatan menjaga saat-saat terakhir hayat abah di usia tua? Tahukah abah betapa rindunya saya pada kenangan lama. Zaman kanak-kanak di kampung halaman yang indah permai.

Benar. Sesungguhnya Allah itu maha mendengar. Dengan kasih sayang, dikembalikannya saya ke kepangkuan abah selama 3 tahun 3 bulan di kampung halaman. Barulah saya sedar, rupa-rupanya kenangan lalu telah berlalu. Hanya indah sebagai kenangan.

Abah..esok saya akan pergi lagi meninggalkan kampung penuh kenangan ini. Kalau dahulu setiap kali saya pergi ke mana-mana serata dunia mengikut suami, abah pasti mengiringinya dengan doa. Abah selalu memberikan harapan. Kata abah,

"Pergi dahulu..nanti abah datang menyusul. InsyaAllah, abah pergi berziarah awak."

Esok-esok ..barangkali kami tidak dapat lagi menziarahi pusara abah di sini. Kami mahu berhijrah sebagaimana hijrah Rasullulah dari Mekah ke Madinah. Kami nekad tinggalkan kaum keluarga, saudara mara, jiran, rakan taulan dan harta benda. Namun mereka selalu dekat di hati kami. Banyak yang Allah tunjukkan.. mereka tidak selalunya ada bersama di saat-saat kami di timpa ujian. Tahulah kami yang hanya Allah yang di sembah, tempat kami memohon pertolongan.

Entah.. adakah Madinah adalah hentian terakhir perjalanan kami? Apakah di situ juga kami akan disemadi? Entah di bumi mana, entah umur berapa, entah bila akan terhentinya perjalanan ini. Lalu, sekali-sekala saya gagal mengawal air mata apabila sekilas pertanyaan melintas dalam dada;

"Siapakah nanti agaknya yang memasang kepok pusara di batu nisan saya? Barangkali pusara itu tiada bertanda dan anak-cucu tidak dapat mengesannya. Barangkali mereka hanya kenal kami pada nama."

Salam sejahtera abah..relakan kami pergi.

13 comments:

  1. Assalammualaikum Puan Roza,

    Sebak baca tulisan Puan kali ini.

    Alhamdulillah, saya dpt bertemu Puan di majlis pelancaran buku tempoh hari. Ntah bila dpt bertemu lg.. :(

    Saya doakan Puan dan Prof serta keluarga di lindungi dan di rahmati sentiasa, tak kira di mana.amin.

    ReplyDelete
  2. As salam Pn Roza, tersentuh hati membaca entry ni, moga roh mereka ditempatkan dikalangan orang2 soleh.

    Saya belum berkesempatan bertemu puan, tapi buku dah baca. Utk pengetahuan puan, anak saya yg berusia 9 tahun juga membaca buku karangan puan, katanya buku ros merah, dibawanya kesekolah, ditegur oleh guru kerana tajuknya perkataan 'cinta', tapi bila dipinjamkan kpd gurunya barulah gurunya faham. Kempen lagi kpd murid2 lain, kalau nak pandai karangan bacalah buku mcm Eliya (nama anak) itulah diceritakan kpd saya olh Eliya dengan bangga. Buku kedua belum diberi kerana peperiksaan menjelang tak lama lagi. Hajat dihati nak ke majlis pelancaran buku k2 tapi tak kesampaian, mungkin dengan izinNya kita akan berjumpa suatu masa nanti. Maaf kerana bercerita panjang.
    Moga perjalanan Puan dan Prof dipermudahkanNYA.
    K. Rohani

    ReplyDelete
  3. Assalamualaikum,

    Kak Roza...tulisan kak Roza dan Prof sering membuatkan saya hampir menitiskan air mata. Alhamdulillah semua urusan Kak Roza untuk berhijrah dipermudahkanNya. Walaupun saya tidak mengenali kak Roza dengan rapat tetapi saya dapat merasakan kak Roza juga adalah sebaik Arwah Ayu yang saya kenali.Moga kita dapat bertemu satu hari nanti...kalau bukan di sini di Madinah mungkin :)

    ReplyDelete
  4. untie puan..
    sebak tidak terhingga kala menatap setiap patah catatan bicara hatimu.airmata ini gagal bertahan dikelopaknya..deras ia mengalir.

    semoga Allah merahmati hidupmu sekeluarga hingga ke akhir hayat.. semoga anak-anakmu akan menjadi anak-anak yang soleh/ soleha sebagaimana dirimu. ameen ya rabb.

    -najwa-

    ReplyDelete
  5. As salam, Roza,

    W/pun ada bab yg tlh dibaca melalui blog tp bila membacanya semula TIAIYT,ttp bergenang air mata ini.
    Kak berdoa agar Roza sekeluarga sentiasa dlm rahmat Allah. W/pun kita x pernah bertemu, semoga ukhwah dialam maya x putus.
    Bukan kepok @ nisan yg jd ukuran, doa anak2 soleh/solehah yg penting.

    ReplyDelete
  6. puan

    baru minggu lepas sy membaca buku ros merah itu & memaksa en hubby membaca sekali..dan alangkah peliknya buku itu hanya dibaca x smp 2 jam..sgt menarik & tertarik utk mencari yg terbaru ini..tp x ketemu di MPH

    apapun entry kali ni..benar2 buat sy tersedu..smg Allah mempermudahkan sglnya ..

    ReplyDelete
  7. Salam sejahtera Roza,

    Seperti biasa, coretan Roza sangat terkesan di hati. Tetapi entri ini amat menyentuh jiwa dan menusuk qolbu. Amat halus, syahdu dan sukar digambarkan dengan kata-kata. Tanpa sedar, gerimis membasahi pipi...

    Semoga Roza akan terus berkongsi pengalaman dan terus menulis sesuatu yang boleh diteladani walaupun telah berada nun jauh di bumi Madinah.

    Saya akan terus mengikuti perkembangan Roza sekeluarga akan terus setia singgah di sini.

    Doa kami sekeluarga agar segala urusan penghijrahan ini dipermudahkan Ilahi.

    Wassalam.

    ReplyDelete
  8. Salam Kak Roza,

    Bergenang airmata membaca entry ini...
    Semua tulisan kak Roza sangat berbekas dihati ini. Teruskan menulis kak Roza walaupun nanti berada jauh di bumi Madinah...

    azura
    putrajaya

    ReplyDelete
  9. Salam sejahtera Pn Roza,

    Barangkali kunjungan terakhir Pn Roza ke pusara Abah dan Ayu adalah pada pagi Aidil Fitri sebelum berangkat ke Madinah.

    Seterusnya harap Pn Roza sudi memaklumkan kepada saya ayat-ayat yang tertinggal di bahagian akhir dalam Tip 33 - Uzur Seorang Wanita (Muka Surat 114, 50TMH). Salah cetak telah menyebabkan tiada ayat selepas perkataan 'Apakah'.

    hzm

    ReplyDelete
  10. Assalamualaikum Pn Roza

    Moga hidup lebih dirahmati dan diberkatiNYA di Madinah.
    Cemburu dan sedih bercampur baur dalam hati ni...nak juga rasa kasihNYA seperti yang dinikmati oleh keluarga Pn Roza

    ....maksu.....

    ReplyDelete
  11. Salam sejahtera Pn. Roza,

    Entah kenapa hati ini sayu seperti akan kehilangan seorang kawan baik bila tahu puan akan berhijrah ke Madinah...

    ReplyDelete
  12. Salam sejahtera Pn. Roza,

    Semua yang telah terjadi dan akan terjadi barangkali ada hikmahnya

    hzm

    ReplyDelete
  13. Salam..moga Allah permudahkan hijrah Pn Roza sekeluarga..Allah bersama-sama hamba2Nya yang berhijrah keranaNya..damainya hati mendengar berita ini..hasrat hati ingin mengikuti jejak Pn Roza sekeluarga satu hari nnt ..insya Allah..=)

    ReplyDelete