Bacalah dengan nama tuhanmu yang maha mengetahui..



Tuesday, May 10, 2011

Monolog di pusara abah..

Damai sahaja kawasan tanah pusara awal-awal pagi ini. Tanah yang diwakafkan oleh nenek moyang kami. Embun di dedaun masih basah, ada di mana-mana. Dahulu, kawasan ini paling takut dilalui. Masa berlalu, diri berubah. Di situ tempat bersemadi jasad orang-orang yang begitu banyak berbudi pada diri ini. Yang memberi bekas di hati.

Pusara abah, letaknya bersebelahan dengan pusara adik perempuan bungsu kami, Ayu . Ayu rupanya yang pergi dahulu. Begitu suratan kitab ketentuan-Nya.

Di sebelah pusara abah adalah pusara pak cik Wahab. Teringat kembali zaman silam di awal persekolahan rendah.. di laman rumah pakcik Wahab tempat kami sepupu-sepupu perempuan berkumpul di atas pokok jambu air. Di atas pokok jambu air itu sentiasa ada kicap manis dan pedas yang di bungkus dalam pelastik, tergantung di celah-celah ranting. Itu bahan pencecah penambah rasa. Kami tidak begitu risau tentang tarikh luput selagi tidak sakit perut!

"Terima kasih pakcik Wahab. Halalkan jambu air itu kerana kami jarang sekali meminta izin terlebih dahulu. Muga itu menjadi amal jariah yang berterusan."

Di sebelah pusara pakcik Wahab adalah kamar indah bersemadinya "cinta hati pertama" saya.. Mak wa. Pohon-pohon jejuang rimbun sekali meneduhi pusaranya.

Pusara Atok abah, sebelah menyebelah dengan pusara mak wa. Atok abah sinonim dengan basikal tuanya. Basikal atok abah antara kesukaan cucu-cucunya.. Basikal yang mudah sekali "dicuri" kerana tidak pernah berkunci. Saat yang paling sesuai adalah semasa Atok Abah dan Mak Wa sedang khusyuk sembahyang dhuha.

"Maafkan kami Atok Abah kerana "meminjam" basikal itu sehari suntuk ke ulu Jementah. Barangkali hari itu, Atok Abah tidak dapat pergi mencari surat khabar tulisan jawi di pekan Jementah."

"Sebelah pengayuh basikal yang hilang itu sebenarnya angkara kami. Bukit yang dituruni agak tinggi bagi kami, sedangkan basikal itu meluncur dengan laju."

"Lalu, sebenarnya.. semua cucu-cucu atok abah tersungkur bersama basikal itu. Sebelah kaki pengayuh basikal itu tercampak jauh. Jatuh, hilang entah ke mana. Hampir senja kami mencarinya.. Atok Abah. Maaf sekali lagi.. basikal Atok abah terpaksa kami tinggalkan secara senyap-senyap di belakang rumah dengan susah payah. Kami sorong basikal itu beramai-ramai dan ikut anak sungai yang lalu di belakang rumah atok abah.. kononnya supaya tiada orang dapat mengesan tayar basikal."


Di hujung sana..adalah pusara Pak Long Dollah, pemilik jambu bol. Jambu bol yang semakin pupus bakanya.

Esok, sepatutnya adalah hari kelahiran abah. Tanggal 11 Mei. Hampir setiap tahun biasanya kami adik-beradik berkumpul dan seperti kebiasaannya, acara makan-makan dijalankan. Kali terakhir, tarikh yang sama kita berkumpul di rumah Ayu.

Ah, itu masa yang berlalu.

Esok, kepok pusara serta batu nisan abah dan Ayu akan di pasang. Sebagai catatan tanda nama di situ. Biar esok-esok anak cucu dapat mengesannya..sebagaimana kami dapat menjejak pusara atok abah dan mak wa.

Al-Fatihah untuk mereka dan kaum muslimin-musliman.

Semuga Allah melapangkan dan menerangkan kubur mereka. Mengampunkan dosa-dosa mereka. Memberi rahmat ke atas roh mereka dan menempatkan mereka di kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh.

8 comments:

  1. alfatihah... maaf lama saya tak singgah. rupanya orang2 tersayang telah pergi ke alam abadi. moga berada dalam rahmat Allah selalu dan sentiasa didoakan oleh anak dan cucu. amin..

    ReplyDelete
  2. Salam..
    semoga Allah melapangkan tempat persemadian 'Tok Abah', semoga rohnya dicucuri rahmat olehNYA dan dihimpunkan bersama orang-orang yang dikasihiNYA. ameen ya rab.


    -najwa,JB-

    ReplyDelete
  3. Salam

    Moga roh mereka ditempatkan bersama orang2 yang beriman. amin..

    ReplyDelete
  4. Al-fatihah untuk mereka mereka yang telah pergi. Entri yang begitu sebak dibaca.......Muga mereka dihimpunkan di kalangan para soleh dan solehin. Amin.....

    ReplyDelete
  5. Salam Sejahtera Pn Roza,

    Untuk kedua ayahanda dan bondaku , dua bonda saudara ku, datok dan nenek ku serta suami kepada salah seorang bonda saudara ku -
    Semuga Allah melapangkan dan menerangkan kubur mereka. Mengampunkan dosa-dosa mereka. Memberi rahmat ke atas roh mereka dan menempatkan mereka di kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh.

    hzm

    ReplyDelete
  6. Salam Puan...Amin Wa Rabbul Allamin...Dilla

    ReplyDelete
  7. Salam Puan.
    Satu catatan yang mampu menitiskan airmata tetapi indah untuk dikenang. Indah pengalaman puan berbanding diri yang tidak pernah kenal kedua mereka dan mendapat kasih dri insan bergelar tok. Semoga kenangan indah tersebut sentiasa mengajar kita kasihNya.

    ReplyDelete
  8. Amin, semoga mereka dicucuri RahmatNya.

    ReplyDelete