
Kenapa? Kerana pada hemat saya inilah ulam paling hancing kegemaran Mak Wa! Mak Wa akan ketawa apabila saya memberi komen terbuka terhadap ulam kegemarannya.
"Cukup lah makan jering tanam tu Mak Wa..hancing bilik air rumah kita"Mak Wa akan diam dan tersenggut-senggut ketawa.
"Cuci bilik air itu acap-acap..haaa hilanglah bau hancing tu!"
"Tidak hilang...lekat!"
Kata mak Wa," Kurang sikit bau haringnya!"
Mereka tidak memakannya mentah-mentah seperti jering muda yang lembut serta ranggup. Jering tanam selalunya dimasukkan ke dalam gulai masakan - daging atau ikan. Atau di hiris halus dan dimasak sambal cili api ikan bilis.
Sejak kami berpindah ke pekan Jementah, Mak Wa sering datang bermalam. Berhari-hari. Mak Wa akan meminta sepupu di Paya Jakas untuk menghantarnya ke rumah kami.
"Mak Wa ini sudah tidak berguna lagi"
"Tidak apa..Mak Wa baring-baring sahaja"
Mak Wa akan membawa sebiji bantal kekabunya. Berbaring mengereng. Sebelah kakinya memanggung sebiji bantal kekabu yang kecil yang diletakkan di antara peha dan perutnya.
Sambil berbaring di ruang tengah rumah beliau memerhatikan kami memasak di dapur. Sesekali Mak Wa menyampuk dan memberikan arahan kerja atau petua-petua masakan. Selalunya Mak Wa datang bertandang apabila teringin memakan makanan idaman. Di minta kami memasaknya.
"Gulai ikan patin tu..santannya biar pekat sikit. Guna kelapa tua"
"Baikkk.."
"Belimbing buluh tu masukkan ke dalam gulai kemudian
sekali. Setelah awak tutup api"
"Habis tu buah cepu ni hendak masuk
waktu bila?"
"Heii..kalau dah masukkan buah cepu, tidak payahlah
masukkan belimbing buluh. Nanti berlawan pula rasanya"
Riuh rendah bunyinya.
"Jering tua tu jangan lupa di rebus empuk-empuk dahulu.
Kemudian baru di masukkan ke dalam masakan gulai tu""Mak Wa..hancing bau bilik air kita..."
Nota :
Saya begitu fobia dengan bau hancing akibat makan jering. Sebab itulah menu masakan jering tua tidak pernah ada di dalam kepala.