Bacalah dengan nama tuhanmu yang maha mengetahui..



Monday, October 5, 2009

Epilog 3

Hidup ini umpama menyudahkan sebuah novel yang entah bila berakhirnya. Setiap hari peristiwa yang dilalui umpama helaian muka surat yang hanya empunya plot novel itu sahaja yang tahu kesudahannya. Dia yang satu - Allah S.W.T

Setiap episod ada cerita suka yang membuat kita tertawa terkadang kita mengalirkan air mata. Namun, kebanyakannya ia sebuah cerita kehidupan yang penuh dengan pengajaran jika kita menghayatinya dengan hati nurani. Mata hati.

Ada juga kejadian yang rupanya hampir serupa dengan jalan cerita kehidupan orang lain. Mirip sekali. Namun, ia berlaku dengan aplikasi yang berbeza dan di tempat yang tidak sama. Begitulah, kerja Allah. Dialah yang maha berkuasa memaniskan titik akhir kejadian yang pahit dan memuramkan episod kejadian pada permulaannya kelihatan seperti mengembirakan. Kesudahannya amat mengesankan.

Tahulah saya, rupanya hidup ini dibahagikan kepada beberapa fasa. Di dalamnya terdapat beberapa episod. Ia seolah-olah sebuah drama yang jalan ceritanya tidak tergambarkan oleh tuan punyi diri ketika kajadian. Maknanya plot ceritanya telah ada tetapi pelakun utama sendiri tidak mampu mentafsirkan sendiri. Dirinya bukan miliknya. Ia umpama boneka tetapi diberikan akal untuk berfikir setiap kejadian. Lantas membuat pilihan di antara kebaikan atau kejahatan.

Kadang-kadang aturan perjalanannya umpama sebuah papan permainan Dam tangga dan ular. Bergerak mengikut hitungan numbor dadu yang dilemparkan. Kadang-kadang ia bergerak pantas meniti anak tangga. Di masa yang lain terpaksa memulakan perjalanan semula apabila dadu yang dilemparkan terkena nombor yang di makan ular!

Fasa 1 adalah ketika di zaman kanak-kanak di mana sawah bendang dan alam semesta adalah merupakan padang permainan. Setiap objek memberikan pengajarannya. Zaman di mana kegembiraan tiada had limitnya. Semuanya mengembirakan.

Usia remaja merupakan Fasa ke 2 di dalam kehidupan. Allah mengajarkan tentang emosi dalaman yang baru diterokai. Bagaimana menguasi diri di dalam setiap kejadian. Akhirnya menyerahkan diri kepada-Nya kembali untuk membuat sesuatu keputusan.

Berjauhan dengan keluarga buat pertama kali kerana melanjutkan pelajaran ke peringkat pengajian tinggi merupakan Fasa ke 3 di dalam kehidupan. Mengupas tentang dilema jiwa remaja yang berperang dengan perasaan. Gelodak jiwa yang mengeleggak bercampur dengan harapan ibubapa untuk melihat kejayaan. Antara janji untuk diri dan memegang janji orang.

Fasa 3 banyak di kupas di dalam Fasa 4 apabila terlontar berjauhan di rantau orang. Setiap ruang digunakan untuk mengenangkan perihal diri, bagaimana tindakan diri di Fasa 3 memberikan implikasi besar di Fasa 4. Ia fasa yang sedang menuju ke alam dewasa. Perasaan jiwa muda yang berkeluarga tetapi merasakan persiapan diri serba kekurangan.

Fasa 5 menceritakan episod pertentangan perasaan untuk menempa kerjaya diri dan di dalam masa yang sama terpaksa mengalah demi kebahagian orang yang di sayang. Menyerahkan diri kepada Allah dan merelakan Dia mengaturkan segalanya.

Di dalam fasa yang ke 6, menceritakan bagaimana Allah menjadikan kejadian di Fasa 5 punca modal motivasi besar untuk berubah. Mengutip setiap minit yang ditinggalkan yang masih tersisa di belakang dengan bergerak perlahan-lahan. Langkah semakin dewasa lagi lemah malah tidak berdaya tetapi demi memegang janji yang belum kesampaian lalu, pendakian diteruskan. Ketika itu Allah banyak membantu dengan kasih sayang-Nya.

Akhirnya, Fasa 7 seolah-olah menuju pencarian yang di cari menuju destinasi. Suatu perjalanan yang sunyi sepi namun penuh muasabah diri. Menilai kembali setiap kejadian, mensyukuri nikmat yang dipinjamkan malah menghargai setiap pengajaran yang dilalui. Lalu, nikmat Allah yang mana satukan yang hendak di dustakan?

Pertama Ramadhan
22 Ogos 2009

3 comments:

  1. Salam puan,

    kehidupan adalah suatu yang susah hendak ditafsirkan...tiada kesudahan...setiap hari adalah suatu pembaruan & permulaan... cerita buat seseorang insan...

    saya terus menanti ceria2 puan...semoga puan terus menulis..terlalu banyak pendidikan yang saya dpt drpd pengalaman cerita kehidupan puan..terima kasih atas perkongsian cerita2 puan...

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum Hanis,

    Sebenarnya hati saya berada di antara dua persimpanagan.

    Di satu pihak ia membuak-buak meminta agar ianya diceritakan. Manakala sebelah pihak yang lain meminta agar ianya di simpan sebagai koleksi peribadi.

    Persimpanagan dilema.

    Saya masih meneruskan usaha memohon kepada Allah agar apa yang saya ceritakan itu nanti adalah bakal menceritakan tentang kebesaran-Nya, kekuasaan-Nya, kasih sayang-Nya dan tunjuk ajar-Nya.

    Tidak terjangkau di fikiran bahawa setiap bisikan itu didengar, lalu di jawab-Nya. Ia tidak tercepat atau terlambat. Malah amat tepat masanya.

    Hanya naluri kita yang tidak sabar menunggu jawapan kepada setiap persoalan.Bersedih apabila apa yang kita suka tidak ditunaikanya sedangkan itu lebih baik untuk kita.

    Ya Allah, ampunkan saya.

    ReplyDelete
  3. Betul tu kak Roza. Dalam menulis (malah setiap aspek kehidupan), kita perlu mencongak apa yang patut dikongsi dan apa yang tidak. Saranan seorang sahabat untuk melakukan solat istikharah pada setiap hari (selepas solat dhuha) saya sambut dengan baik. Logik sungguh kita pinta bantuan Illahi untuk membantu kita membuat keputusan harian. ;)

    ReplyDelete