Bacalah dengan nama tuhanmu yang maha mengetahui..



Sunday, January 2, 2011

Lempeng berlubang


Selain dari jemput-jemput, sarapan pagi kami adalah lempeng. Emak membuat lempeng kerana sebab yang tertentu.
"Alaa..mak mana jemput-jemput?"

"Hari ini kita makan lempeng sebab tidak cukup minyak masak"

"Lempeng apa? Lempeng pisang ke lempeng kelapa parut?"

"Lempeng kelapa."

"Wahh..!"

Aroma lempeng kelapa memenuhi setiap ruang rumah kecil kami. Harumannya menusuk-nusuk , menaikan selera. Ia sedap di makan panas-panas.

Suatu hari emak memperkenalkan kami dengan sejenis lempeng. Ia berlubang-lubang dan di makan bersama kari daging yang di campur dengan kentang. Dagingnya sedikit tetapi kuahnya berlinang-linang.

Kami melihat emak memasukkan sejenis acuan sebesar tin susu yang berlubang-lubang ke dalam adunan. Kemudian mengirai adunan tepung cair yang berwarna kekuningan di atas kuali leper. Akhirnya terbentuk kepingan nipis berurai-urai seperti jala. Pantas emak mengirai, melipat dan membentuk lalu menyusunnya di dalam pingan hidangan.

"Wahh..lempeng berlubang!"

Lempeng berlubang adalah lambang ketekunan. Ia perlu diurai satu persatu, senipis mungkin. Jika acuan tersumbat, ia perlu segera dibetulkan. Jika tidak, aliran adunan tersekat. Ia akan menjejaskan rupa bentuk kiraian. Ia lambang kesabaran.

Namun, ada masa-masa tertentu permintaan untuk makan lempeng berlubang tidak akan di layan walaupun pada pagi itu terdapat kari daging tersisa di dalam periuk belanga.

"Mak..saya mahu makan lempeng berlubang.."

"Eh! Mahu kena rotan? Inikan bulan ramadhan!"

Apabila dewasa, jarang-jarang saya berjumpa dengan lempeng berlubang. Sesekali membuat tempahan jika mendapat tahu ada sesaorang yang pandai membuatnya. Tidak meminta resepi apatah lagi untuk membuatnya. Alasan saya adalah kerana tiada acuan.

Setiap kali ke pasar malam dan berjumpa dengan roti jala, saya membelinya. Namun, ia berakhir dengan saya membanding-bandingkan rasa kuah kari daging yang dibeli dengan keenakan kuah kari daging masakan emak.

Apabila memberitahu anak-anak yang roti jala itu saya pernah memanggilnya sebagai lempeng berlubang. Tiba-tiba anak-anak secara acuh tak acuh bertanya:

"Kenapa mama panggil ia roti jala. Tak ada rupa roti pun..."

Saya hilang kata-kata.

Gambar ihsan:
myresepi.com







4 comments:

  1. Nama sekadar untuk dirujuk.Kalau tak ada nama susah pula nak menyebutnya...Saya memang tinggal berjauhan dgn ibu sejak berumur 13 tahun. Jika saya rindukan ibu saya pasti memasak resepi kegemaran seperti yg pernah dimasak oleh ibu...tapi benar rasa air tangan ibu jauh lebih enak...Kini ibu saya tidak lagi dapat memasak setiap kali jika saya pulang ke kg kerana ibu diserang stoke sejak 8 tahun yg lalu.Tetapi keenakan juadah2 masakan ibu tetap terasa di hati.Terkenang2...

    ReplyDelete
  2. Salam,

    Salam Tahun Baru !

    Lempeng berlubang .. saya suka lempeng itu dan selalunya saya buat sendiri , adakalanya kalau silap mood dan adunan jadi lempeng tak berlubang , leper aje :)

    ReplyDelete
  3. Salam sejahtera ummi hajjah,

    Benar..masakan boleh mengembalikan ingatan kita dan mengubat rindu kepada sesaorang.

    Indannya kehidupan ciptaan Tuhan.

    ReplyDelete
  4. Salam,
    Terus teringin nak makan lempeng berlubang..(senang je Puan Roza..acuan yang plastik pun ada dijual).Dulu2 masa saya tiada acuan,saya akan masukkan batter dalam plastik dan digunting halus dihujungnya..bahagianya masak utk family

    ReplyDelete