Bacalah dengan nama tuhanmu yang maha mengetahui..



Wednesday, January 26, 2011

Bubur nasi Keledek

Semasa di sekolah rendah, saya bukanlah jenis suka berkawan. Kawan-kawan saya adalah adik-beradik dan sepupu terdekat. Kami jarang sekali bermain dengan anak-anak jiran tetangga. Sebabnya kerana kami sibuk dengan urusan sendiri - main basikal, mandi sungai dan panjat pokok untuk jualan.

Tan Chew Peng dan Ravi Shankar adalah dua nama rakan sekolah yang membuatkan saya memberi ruang dan perhatian kepada mereka. Kenapa?

Tan Chew Peng adalah satu-satunya pelajar berbangsa cina yang bersekolah di sekolah kebangsaan Paya Jakas. Dia tinggal di sebuah ladang estate di Kebun Baru. Fasih sekali berbahasa melayu.

Saya tidak begitu menghiraukan Chew Peng kerana sibuk berkawan dengan Adib [sepupu]. Lagipun dia mempunyai rakan-rakan sendiri yang terdiri daripada kumpulan pengakap. Dia aktif dan disayangi guru-guru sekolah. Dia juga tidak begitu menghiraukan saya. Kami hanya memandang melalui ekor mata.

Saya pernah mendengar rakan-rakan yang cuba rapat dengan saya menyampaikan berita;

"Chew Peng kata awak sombong. Mentang-mentang anak cikgu..."

Saya tidak menjawab, malah tidak melatah. Selagi ia tidak datang dari mulutnya, saya tidak mahu percaya dengan cerita yang disampaikan oleh sesiapa. Ia berlalu begitu sahaja.

Suatu petang di musim tengkujuh, semasa pulang dari sekolah agama untuk ke tempat mengaji quraan, saya melihat Tan Chew Peng berteduh di bawah pokok tanjung. Dia memakai uniform pengakapnya. Bajunya basah. Saya lalu di depannya tetapi tidak pula mahu bertanya atau menegurnya. Sedikit sebanyak saya termakan kata-kata yang disampaikan oleh rakan. Saya tidak mahu mencari fasal. Lalu, ego menguasai diri.

"Jika orang tidak mahu berkawan dengan kita, jauhkan sahaja diri dari mereka."

Selesai mengaji quraan, saya mahu terus sahaja pulang ke rumah. Tetapi, ada sesuatu yang menghalang. Hati saya teringat-ingat kepada Tan Chew Peng. Tertanya-tanya masihkah dia berdiri di situ dengan uniformnya pada lewat petang itu. Lalu, saya berpatah balik ke belakang, menuju ke arah sekolah agama.

Benar, dia masih berdiri di bawah pokok tanjung itu. Uniformnya basah dan tubuhnya sedikit menggeletar. Kenapa dia masih belum pulang sedangkan hari sudah lewat petang? Subhanallah! Dengan kekuatan yang ada Allah memberikan ilham kepada saya, agar membuang perasaan ego itu jauh-jauh. Saya memberanikan diri mendekatinya dan bertanya;

"Awak tunggu siapa? Hujan. Sudah hampir maghrib.. kenapa tidak pulang?"

Tiba-tiba Chew Peng menangis lalu memeluk saya. Terasa getaran tubuh badannya. Nyata dia kesejukan. Tanpa berfikir panjang, saya mempelawa dia datang ke rumah. Dia tidak menolak. Di rumah, saya memberitahu emak tentang Tan Chew Peng. Emak menyuruh dia mandi dengan menyediakan air suam. Saya pinjamkan baju kurung kepadanya. Dia menyambutnya dengan takut-takut dengan wajah penuh bersalah.

"Mahukah awak memakai baju kurung? Ini sahaja baju yang saya ada."

Tanpa banyak bicara dia memakainya. Dengan wajah takut-takut dia membuka bicara;

"Saya fikir hari ini ada kegiatan pengakap. Perkhemahan. Rupanya cikgu batalkan saat-saat terakhir. Sebelum itu saya memberitahu bapa agar mengambil saya keesokan harinya. Saya juga tidak membawa duit tambang bas."

"Kenapa awak tidak berteduh di tepi sekolah?"

"Bolehkah budak cina berteduh di sekolah agama Islam?"

Saya diam. Barangkali itulah ketakutan yang ada di dalam dirinya. Lalu, dia sanggup berhujan. Semasa kami menyediakan makan malam, Chew peng membuat suatu permintaan;

"Bolehkah masak bubur nasi untuk saya? Biar saya tunjukkan caranya.."

Tan Chew Peng memasukkan secawan beras dan air yang banyak ke dalam periuk. Apabila dia terpandang keledek, dia minta masukkan sebuku keledek. Secubit garam secukup rasa. Kemudian ia mengoreng beberapa ulas bawang putih yang dicincang halus. Apabila bubur nasi mengeleggak dan keledek sudah empuk, dia mencurahkan gorengan bawang putih bersama minyaknya ke dalam bubur.

Bubur nasi campur keledek. Bubur yang biasa menjadi hidangan kami sekeluarga. Namun, emak biarkan sahaja Chew Peng menunjukajar caranya. Sebenarnya saya malu untuk menceritakan kepada orang lain tentang bubur nasi keledek. Saya fikir ia makanan orang miskin seperti kami. Rupa-rupanya ia juga di makan oleh bangsa lain.

Malam itu, barangkali prasangka yang bersarang di hati kami terungkai. Chew Peng petah bercerita. Barulah saya sedar yang anggapan luaran atau pandangan orang lain tidak selalunya benar.

Keesokannya rumah kami dikunjungi oleh bapa Chew Peng. Bapanya datang diiringi oleh tukang kebun sekolah. Wajahnya cemas. Ia menunggang motor kapcai yang penuh dengan palitan getah kering. Ternyata lega, bapanya berkali-kali mengucapkan terima kasih kepada kami. Chew Peng meluru ke arah bapanya. Ia ceria, tidak rasa bersalah dan tidak langsung takut-takut lagi memakai baju kurung saya.

"Papa, baju saya semua basah. Tidak mengapa saya pinjam baju ini kan?"

9 comments:

  1. Cerita yang memberi pengajaran. Terima kasih

    ReplyDelete
  2. kak roza..cerita2 kak roza sgt menyentuh hati la..best!

    ReplyDelete
  3. saya suka!

    kalau ada button 'like', saya dah klik 'like' banyak kali

    ReplyDelete
  4. Saya pun like. dan, mata saya tengah bergenang air sewaktu menaip komen ini ...

    Indahnya!

    ReplyDelete
  5. Lupa nak tanya ...

    Apa jadi dengan Chew Peng sekarang?

    ReplyDelete
  6. Salam sejahtera Puan Roza.

    "Bolehkah budak cina berteduh di sekolah agama Islam?"

    Sayunya hati saya membaca ayat ini..Persepsi yg salah kerana kita sehingga hari ini jarang membuka ruang untuk yg belum Islam merapatkan diri mereka dgn Tuhan sebenar2 Tuhan, Ya Allah, Makbulkanlah permintaan kita untuk melihat semua teman2 yg belum Islam mendapat hidayah kerana ada diantara mereka banyak berjasa kerana mereka itu pernah menjadi guru , doktor, dan jiran terdekat kita. Teruslah bermohon semuga akhlak kita bertambah baik supaya cahaya Islam itu menerangi setiap sudut di bumi Allah ini AllahuAkbar.

    ReplyDelete
  7. Bergaul sendiri dgn bangsa lain memberi pelajaran baru unruk mengenal agama dan adat mereka.

    Sewaktu sekolah tak ada kawan berbangsa cina sehinggalah sy bekerja yg 99% dlm syrkt adalah berbangsa cina...dulu sering berangapan buruk pd mereka tapi hr ini sy nmpak mereka lebih menghormati agama kita.

    Semangat kerja dan rajin berusaha yg buat sy amat kagum dgn mereka...tak begitu puan Roza ?

    ReplyDelete
  8. Salam sejahtera,

    Mahu click "like"? Boleh ke FB saya..

    ReplyDelete
  9. Salam Sejahtera Pn Roza,

    Kadang-kadang bubur nasi dikaitkan dengan makanan orang sakit yang tak ada selera makan makanan lain-hzm

    ReplyDelete