Bacalah dengan nama tuhanmu yang maha mengetahui..



Wednesday, January 19, 2011

Labu oh labu

Semasa berumur sepuluh tahun, kami sekeluarga berpindah ke kampung halaman abah. Letaknya di Kampung Paya Jakas. Mukim Jementah. Daerah Segamat. Ia bersempadan dengan jajahan Melaka dan Negeri Sembilan.

Jadi tidak hairanlah jika kita mendengar orang-orang tua berbicara loghatnya kadang-kadang kedengaran seperti loghat orang Melaka dan kadang-kadang seperti orang negeri. Mercu tanda kampung kami adalah banjaran gunung ledang.

Ketika zaman kanak-kanak, saya melihat tanah-tanah orang kampung diusahakan secara berkelompok. Mereka menanam secara bergotong-royong. Ada menanam keledek, kacang panjang, labu, jagung dan segala tanaman bermusim. Malah, pegawai-pegawai pertaniah begitu proaktif dalam memberikan bantuan samada dalam bentuk biji benih, baja dan juga idea. Malahan setiap rumah digalakan menanam sayuran seperti cili dan kunyit di dalam pasu bunga.

Namun, apabila sampai musim menuai.. mahu tidak mahu, kami terpaksa makan sayur yang sama dari pagi hingga ke malam. Misalnya waktu sarapan pagi kami makan bubur dengan sayur kacang panjang, tengahari lauk masak lemak kacang panjang dan makan malam adalah sayur kacang panjang lagi!

Saya paling suka apabila sampai musim buah labu.

Bunganya jika dicelup dalam adunan tepung beras lalu digoreng terasa bagaikan makan sayur tempura. Pucuknya yang lembut amat enak jika di masak lemak dengan santan pekat. Buah mudanya boleh dimasak sayur tumis air dengan daun kunyit. Buah tuanya sedap dibuat sayur lemak dicampur dengan pucuk bayam atau daun selasih. Buah yang sedang-sedang enak sekali jika dibuat serikaya labu.

Apabila Mak wa membuat serikaya labu, saya suka membantu. Saya melihat bagaimana mak wa menebuk bahagian tangkai labu lalu dikeluarkan biji-bijinya. Labu dicuci sehingga bersih. Kemudian saya melihat mak wa memasukkan santan pekat yang telah dimasukkan gula, telur dan perahan air daun pandan. Secubit garam penambah rasa. Buah labu tadi dikukus.

Di hari yang lain, labu tadi menjadi jemput-jemput, bingka, keria ataupun lepat.

Kini, apabila terpandang timbunan labu yang dijual ditepi jalan..pasti kenangan silam datang bertandang. Labu..ia kenangan indah seorang cucu.

3 comments:

  1. salam sejahtera Puan Roza.
    Oh begitu rupanya serikaya labu...selama hari ni saya cuma pandai masak labu menjadi kuah lemak sahaja.Rupa2nya macam2 lagi labu itu boleh kita 'gayakan'.Banyak lagi yg perlu saya pelajari ...betullah...lagi banyak tahu lagi banyak kita tak tahu.

    ReplyDelete
  2. Salam Puan Roza..

    Saya pernah buat entry labu dan masak lemak pucuk labu ini dalam blog saya silalah singgah kesana ye ..ini linknya:

    http://ummi-ieraakmal.blogspot.com/2011/01/tak-dapat-buah-labu-pucuk-pun-jadilah.html

    Dan yang ini :

    http://menuarizah.blogspot.com/2011/01/masak-lemak-pucuk-labu.html

    Semoga puan sudi singgah ke blog sy yg tak seberapa tu!

    ReplyDelete
  3. As Salam Puan Roza,
    Buah labu di buat kek pun sedap...

    Supiah

    ReplyDelete