Bacalah dengan nama tuhanmu yang maha mengetahui..



Wednesday, January 5, 2011

Nasi goreng

Semasa di zaman sekolah rendah, tidak banyak jenis makanan yang saya ketahui. Apa yang dimasak oleh emak, itulah sahaja yang kami terima. Kami pula tidak banyak kerenah, langsung tidak pandai memilih makanan.

Nasi goreng.

Ia antara menu yang berselang seli dengan jemput-jemput bagi sarapan pagi. Emak memang sengaja masak nasi berlebihan pada sebelah malam. Esoknya saya melihat emak menumbuk bawang merah, seulas bawang putih, beberapa biji lada dan ikan bilis. Kadang-kadang ikan bilis digantikan dengan udang kering.


Sayur-sayur juga dicampur penambah warna. Kadang-kadang dimasukkan kangkung, kobis, lobak merah, daun sup, kacang panjang, daun bawang dan apa sahaja sayur yang ada. Kadang-kadang emak campurkan nasi goreng dengan sedikit serai, taugeh dan daun kesum. Namun, emak jarang membuatnya kerana abah tidak suka.


Kadang-kadang saya terasa jemu memakannya. Pernah suatu hari ketika di dalam darjah tiga, emak membekalkan saya nasi goreng untuk di bawa ke sekolah. Saya mahu menolak, namun tidak sampai hati untuk menyatakan. Lalu, sambil memakai setokin dan kasut sekolah, saya sorokkan nasi goreng itu dibelakang pintu. Perlahan-lahan, saya berlalu.


Tengahari itu, saya ternampak emak mencari-cari saya di kawasan sekolah. Malu! Saya mencari tempat sembunyi, namun seorang rakan terserempak. Dia memberitahu emak saya sedang menunggu. Dengan perasaan berbaur-baur, saya menemui emak di kantin sekolah. Di tangannya membawa bekalan makanan yang saya tinggalkan.

"Emak datang hantar nasi goreng. Awak tertinggal di rumah tadi..."

Saya menyambutnya dengan berat hati.


Apabila sudah berumah tangga, jarang-jarang sekali saya menyediakan nasi goreng sebagai sarapan pagi kepada anak-anak. Alasanya kerana tidak sempat. Masing-masing mahu segera ke destinasi di awal pagi.
Saya mengoreng nasi di sebelah malam dengan menambah ramuan seperti daging, ayam ataupun udang segar. Saya tambah telur goreng, keropok dan salad sebagai hiasan.


Semasa di Scotland, nasi goreng adalah penyelamat saya ketika demo bersama isteri pelajar-pelajar di luar negara. Ketika rakan-rakan dari negara lain sibuk dengan masakan tradisional masing-masing, saya hanya mampu menunjukcara memasak nasi goreng.

Subhanallah!


Semakin remaja

2 comments:

  1. Assalamualaikom Puan, masa saya membacanya, saya tak dapat recall, siapakah penulis blog ni. Ayat puan rasa lain dari yang biasa saya baca. Bila dah habis ayat akhir, baru saya perasan.Terharu atas cerita benar kita ini.

    ReplyDelete
  2. Saya masih masak nasik goreng untuk bekal anak2 ke sekolah. Mmg suka sangat dengan nasik goreng even my husband and my kids like it very much. Seronok pulak membaca kenangan2 pasal makanan yang rasa dekat di hati. Will come back for more memory lane on foods that close to the heart ..banyak betul kenangannya.

    ReplyDelete