Bacalah dengan nama tuhanmu yang maha mengetahui..



Saturday, May 2, 2009

Morris Marina


Abah kelihatan berubah.

Beliau semakin kerap berada di rumah terutamanaya pada hujung-hujung minggu. Namun, seperti biasa dia akan pergi juga ke kebunnya.

Tetapi, pasti dia akan pulang untuk bersama-sama kami sewaktu makan tengahari. Abah mulai banyak memperuntukkan masanya yang terluang untuk berada di rumah terutamanya di sebelah petang.

Selepas zohor abah akan berbaring sebentar. Tuti dan Ratna di minta memijak betis hingga ke peha, sementara saya di suruh memicit jerawat di sekitar hidungnya. Kami cepat-cepat akan beredar apabila mulai mendengar abah berdengkur. Tetapi kembali menjalankan tugasan semula dengan hampa apabila tiba-tiba abah bersuara,
"Haa..hendak pergi ke mana?
Kami tertanya-tanya sesama sendiri, apa sudah terjadi?

Kata mak, kebun koko telah mulai mengeluarkan hasilnya. Jadi, rezeki yang lebih dikongsikan bersama dengan jiran tetangga. Abah memberikan upah kepada mereka. Mereka memetik buah di sebelah pagi dan menjemurnya di sebelah tengahari. Sementara abah memantau kerja-kerja mereka.
"Oooo..begitu rupanya."
Pada suatu hari, setelah selesai makan tengahari abah memberitahu kami.
"Pak Utih Majid hendak menjual kereta. Apa kata kita beli kereta dia..setuju tak?"

"Setujuuuuu....!" Kami adik-beradik menjawab hampir serentak.

"Esok abah bawa katalog cat untuk menukar warna kereta. Kita pilih sama-sama."

Kami adik-beradik tersenyum-senyum sambil memandang sesama sendiri. Saya dan Tuti saling mengerti serta dapat membaca perasaan hati. Teruja. Melonjak-lonjak riang sekali!
"Abah kita dah jadi kaya. Yeeeeay..abah dah kaya!"
Apapun di dalam diam kami merasa sangat bersyukur. Merenung diri dan bertafakur.

Subhanallah!

Apakah abah telah menerima nasihat daripada Mak Wa atau bisikan hati kecil serta doa di dalam tangisan kami kah yang telah Allah terima?

Bisikkanlah..bisikkan lagi. Teruskan. Jangan berhenti.

3 comments:

  1. Saya sering mengikuti blog prof muhd kamil,kekadang saya menjenguk juga blog pn roza.Di kali ini saya berkesempatan untuk menulis komen di blog puan.Menarik dan menceritakan seribu pengalaman lalu.Kalau boleh,dapat puan berkongsi pengalaman terkini bersama prof,anak-anak dan keluarga mahupun kerjaya.

    zag (zag4321@yahoo.com.my)

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum,

    Saya pernah di tanya,"Puan, apakah aktiviti puan pada hari ini?"

    Jawapannya.

    "Saya tidak pasti. Malah untuk jangkamasa sejam daripada sekarang pun saya tidak tahu apakah yang bakal berlaku.

    Apatah lagi esok hari. Apakah masih ada kesempatan untuk saya mengucapkan ucapan sayang dan berlari pulang ke pangkuan mereka apabila ditakdirkan Allah untuk mengambil nyawa.

    Mungkin sebentar lagi adalah saat terakhir saya menghela nafas,menghirup udara dan melihat semua yang saya sayangi tersenyum tertawa.

    Lalu, bisikan hati lebih kuat malah lebih baik andai diceritakan apa yang saya miliki pada hari semalam. Yang pasti telah berlaku.
    Yang terindah.

    Agar saya dapat merakamkannya. Agar mereka mengetahuinya bahawa di dalam kejadian itulah mereka sebahagian warna-warni hidup saya.

    Itulah aturan Allah yang telah tetapkan kepada saya.Keizinan ilham yang di minta dari-Nya agar saya jangan hanya melihat sesuatu kejadian dengan mata.

    Lihat dengan hati. Lihat dengan perasaan. Lontarkan sesuatu cerita mengikut katahati agar ada yang terkesan di hati lantas tertusuk di hati sanubari..

    Kenangan cerita diri..ia telah termaklub di dalam buku setiap insan,tertulis sejak azali.

    Perasaan yang terbuku ketika itu adalah perasaan semasa kejadian. Ia pasti berubah kerana masa berubah.

    Blog ini meminta saya menoleh ke belakang, mensyukuri dan menikmati hari ini sambil meniti hari esok..

    ReplyDelete
  3. Assalamualaikum..
    Puan, selaku bekas pelajar puan (yang nakal) saya bangga dengan apa yang puan tunjuk ajar selama ini. Sebenarnya puan sedikit sebanyak telah berjaya mengubah mentaliti pelajar-pelajar puan dengan tidak memisahkan agama dari kehidupan seharian.
    Walaupun sekadar mengajak mereka memulakan kelas dengan al-fatihah dan doa, ia memberi erti yang besar. Sekurang-kurangnya mereka ingat, kita hidup bergantung pada yang Maha Esa.

    Semoga Puan sihat dan ceria selalu =)

    Wallahu Alam

    ReplyDelete