Bacalah dengan nama tuhanmu yang maha mengetahui..



Thursday, May 14, 2009

Hasrat Hati



Dahulu, semasa hari-hari terakhir persekolahan , cikgu pernah meminta agar semua murid mengisi borang tamat persekolahan darjah 6. Perkara yang menjadi keutamaan adalah tentang cita-cita.

Saya buntu. Tidak mengerti mengapa perlu kita menyatakan perkara yang hanya akan berlaku di masa hadapan. Bukankah tuhan yang telah menentukan. Setiap hembusan nafas, setiap kerdipan mata. Semuanya adalah di dalam kawalan-Nya.

"Betul. Kita hanya merancang tetapi Allah yang menentukan. Tetapi dengan bercita-cita, kita akan terus berusaha untuk mencapainya. Bukankah Allah meminta kita agar tidak duduk diam dan berharap sahaja?"

"Cikgu, saya bercita-cita untuk ke luar negara."

"Cita-cita itu bermakna apa hasrat hati kita. Dalam konteks kerjaya!"

"Kerjaya? Bolehkah saya bekerja di luar negara?"

"Sebagai apa? Doktor, Lawyer.."

"Hanya kerjaya itu sahajakah yang boleh membawa kita ke luar negara?"

Saya dapat membayangkan bagaimana bosannya melayani pertanyaan demi pertanyaan murid yang tidak mahu mengerti sehinggalah apa yang dimaksudkan oleh cikgu termasuk di hati. Namun, saya melihat sifat kesabaran seorang guru. Melayani kerenah pelajar buntu tanpa merasa jemu.


"Tidak juga..Kalau awak ingin ke luar negeri, awak mestilah bercita-cita untuk belajar tinggi-tinggi."

Melihat kekurangan diri, di dalam hati mulai mengalah. Bagaimana mungkin saya akan ke luar negeri jika masih terperesok di kampong ini. Menjalani kehidupan seharian yang mendatar dan perlahan. Saban hari bagai kan tiada hujungnya. Hari-hari yang di lalui seolah-olah seperti sama.


Namun, jauh di sudut hati ..


"Ya Allah! Berikanlah saya kemungkinan itu. Tunaikan lah hasrat hati. Atau, temukanlah jodoh yang boleh membawa saya ke luar negeri. Jika ke luar negeri itu adalah kerana tuntutan haji, jemputlah saya menjadi tetamu-Mu. Wahai tuhan, seandainya boleh saya membuat pilihan.. Jemputlah saya ketika usia sebelum mencecah angka 40 an."


Entah apa yang melanda. Bergelodak sedemikian rupa, bermain-main di benak fikiran. Namun, itulah apa yang ada di sudut hati, di dalam perasaan yang tersimpan. Ia wujud sejak sekian lama.

Bertahun-tahun di situ. Tidak pernah luntur, ia tidak pernah padam.

Hati tersentuh di Mudzalifah, tersedu di Mina. Berserah dan bertawakal di Jamratul Aqobah. Sayu pilu apabila bisikan doa semalam dimakbulkan tuhan. Pada detik usia yang penuh bererti [menyambut usia 40 ] Al-Quraan terhenti pada surah ini..


“Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedang tempoh mengandungnya berserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan.

Setelah dia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun, berdoalah dia dengan berkata: Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatmu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadamu dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadamu). / (15) Surah Al-Ahkaaf


Begitulah kebesaran Allah, apabila tertunainya hasrat hati di Makkahtul Mukarramah. Apakah saya masih menafikan bahawa Allah menunaikan segala permintaan?

8 comments:

  1. smoga roza sentiasa dirahmati Allah selalu.

    misi

    ReplyDelete
  2. Allah Maha Pemurah dan Penyayang. Saya doakan Roza dipermudahkan ibadat umrah nanti dan moga-moga Allah mengurniakan pahala berlipat ganda dan dimakbulkan segala doa Roza.

    ReplyDelete
  3. Assalamualaikum,

    Amin. Amin. Amin.

    Saya mengaminkan doa semua yang mendoakan.

    ReplyDelete
  4. Syukur,alhamdulillah kerana doa dan permintaan Puan Roza untuk ke luar negeri dan ke Mekah termakbul sepertimana yg dihajati.Allah sayang tu..

    Zag4321

    ReplyDelete
  5. Keikhlasan dan ketekunan berdoa semuanya didengari Illahi.

    Semoga Kak Roza dipelihara Allah sentiasa. Tolong doakan saya menjadi tetamuNya dalam waktu terdekat ini.

    ReplyDelete
  6. Assalamualaikum wrb,

    ...catatan Puan sungguh menyentuh hati. Tahniah dan terimah kasih kerana Pn Poza berjaya menzahir dan meluahkan dengan sungguh berkesan apa yang tersimpan di sudut hati.

    Petikan ayat Al-Quran "15) Surah Al-Ahkaaf" yang puan kongsi bersama, sungguh cantik susunan maknanya. Pada saya doa ini merupakan doa "terapeutik" dan saya suka membaca doa ini hampir setiap hari terutama selepas solat (sekadar berkongsi pengalaman dan menguatkan lagi catatan puan Roza).

    Saya doakan Puan Roza sekeluarga selamat mengerjakan umrah dan semoga dirahmati Allah.

    Salam perkenalan dari Jepun,
    Kak Sharifah

    ReplyDelete
  7. Salam Puan Roza...semoga umrah Puan berjalan dgn lancar dan dipermudahkan olehNYA..amin.

    ReplyDelete