Bacalah dengan nama tuhanmu yang maha mengetahui..



Saturday, May 16, 2009

Mengetam Padi


Hari terakhir di sekolah rendah.

Cikgu mengadakan hari penyampaian Hadiah dan Anugerah Kecemerlangan Pelajaran. Ibu bapa murid daripada darjah 1 hingga ke darjah 6 semua di jemput datang.

Saya menunggu kehadiran Mak dan Mak Wa untuk menyaksikan anugerah yang cikgu berikan kepada saya. Puas menunggu, namun bayangan tidak juga kunjung tiba. Hampa.

Hadiah pelajaran yang saya rangkul pada hari itu akan menjadi lebih bermakna dengan kehadiran mereka. Ia hadiah untuk mereka.

Saya bergegas pulang selepas bersalaman dengan cikgu-cikgu sekolah. Memohon ampun dan maaf di pinta daripada mereka. Sayangnya..tanpa air mata. Entah kenapa kerasnya hati seperti mati. Kematu seperti batu. Kental seperti besi.

Hati lebih sayu apabila Mak dan Mak Wa tiada di situ. Mereka guru saya nombor satu!

Mak Wa tiada di rumah. Saya terus mencarinya ke baruh. Pasti beliau ke sawah. Pasti beliau berada di jerangau di tengah bendang menampi padi. Atau menghalau pipit-pipit sawah yang tidak tahu mengalah. Mencari dan terus mencari.

Dari jauh, kelihatan Mak Wa berada nun sayup di tengah sawah. Di bawah bahang terik mentari.

"Kenapa Mak Wa tidak datang? Saya menunggu."

Mak Wa diam dan terus mengetam.

"Hari ini adalah hari terakhir saya di sekolah. Cikgu bagi hadiah."

Diam. Beberapa ketika Mak Wa berkata;

"Kadang-kadang di dalam hidup ini kita terpaksa membuat pilihan. Pilih satu di antara dua.. Jadi, apa tindakan kita?"

"Tetapi, Mak Wa dah janji.."

"Ya, jika di izin Allah. Tetapi ada perkara yang lebih penting lagi. Menghalau Pipit sawah. Musim mengetam padi. Jika kita tidak lakukan hari ini, esok-esok belum tahu lagi padi bunting ini masih berada di sini. Entah-entah di serang belalang.. "

Saya tidak menunggu lagi. Berlari dan terus belari. Berkecil hati.

"Tetapi, Mak Wa dan janjiiii !!!

Saya menjerit sekuat hati. Mengejutkan pipit-pipit sawah, lantas bertempiaran berterbangan pergi.

Hati terluka.

"Oh begitu rupanya .. Pilihan ke dua!"


4 comments:

  1. Selamat Hari Guru buat Puan Roza dan Tuan Prof



    Zag4321@yahoo

    ReplyDelete
  2. Terima kasih, Allah.

    Ilmu pelajaran diperolehi daripada pengalaman dan kesilapan silam.

    "Ya Allah, Jadikanlah diriku hari ini lebih baik daripada semalam."

    ReplyDelete
  3. sangat besar jurang antara cara didikan ibu bapa di zaman dahulu dan sekarang..setiap yang berlaku, dipenuhi dengan pengajaran yang memberikan kesan yang mendalam..

    ReplyDelete
  4. Assalamu'alaikum,

    Alahai! Terlalu banyak yang tersirat dalam tilisan Puan.

    Saya minta izin untuk membuat capaian di blog saya.

    ReplyDelete