Bacalah dengan nama tuhanmu yang maha mengetahui..



Saturday, January 1, 2011

Jemput-jemput tulus ikhlas


Jemput-jemput.

Hampir setiap pagi, itulah sarapan pagi kami. Baru haruman gorengan dari jauh lagi kami sudah kenalpasti. Meskipun masih terbaring di dalam kelambu, di hening subuh yang dingin dan syahdu.

“Ah! Mesti mak goreng jemput-jemput pagi ini..”

Kadang-kadang ia juga dihidangkan sewaktu minum petang. Walaupun ia dihidangkan hampir setiap hari, kami masih tidak jemu-jemu menikmatinya.

Mengapa?

Kerana resepi jemut-jemput itu berubah jika diubah ramuannya. Emak mencampurkan ikan bilis dan bawang besar yang dihiris nipis serta sedikit daun bawang atau daun sup untuk jemput-jemput ikan bilis. Emak gantikan ikan bilis kepada udang kering untuk resepi jemput-jemput udang kering. Ramuan tetapnya hanyalah tepung gandum dan air garam.

Paling tidak, emak mencampurkan beberapa sudu gula merah di dalam adunan tepung. Apabila ada lebihan kelapa parut, kadang-kadang ia menjadi jemput-jemput kelapa. Jika dimasukkan pisang, ia menjadi jemput-jemput pisang. Jika ada labu lecek atau labu parut, ia dipanggil jemput-jemput labu.

Ah! Betapa mudahnya mencipta resepi hidangan jemput-jemput itu!

Ada kalanya jemput-jemput yang kelihatan ringkas dan sederhana itu menjadi hidangan yang bergaya. Ianya berlaku, jika emak membeli udang basah. Saya melihat emak mencampurkan sedikit serbuk penaik, sedikit serbuk kunyit dan telur di dalam adunan tepung dan air garam. Emak biarkan adunan itu seketika. Adunan itu ditambah lagi dengan daun kucai, hirisan bawang besar, racikan daun sup dan hirisan lada merah.

Kemudian emak panaskan minyak untuk gorengan. Emak ambil sesenduk adunan dan dan bubuh seekor udang basah diatasnya. Wah! Ia mengelembung dan menyelerakan. Malah sedap di makan bersama cicahan cili sos manis atau kuah kacang.

Ketika berumah tangga, saya melihat wan [emak mertua] menghasilkan sejenis jemput-jemput istemewa berintikan isi ikan. Ikan kembung atau ikan beluru direbus bersama asam keping, halia dan lengkuas serta garam terlebih dahulu. Ikan rebus itu kemudiannya dileraikan dari tulang serta dihancur-hancurkan. Isi ikan dicampurkan dengan hirisan bawang. Istemewanya jemput-jemput ikan itu kerana cara isi ikan disumbatkan ke dalam adunan tepung sebelum mengorengnya. Prosesnya kelihatan renyah.

“Wan, saya nampak macam susah buat jemput-jemput ikan ni..”

“Tidak, jika kita lakukan dengan penuh kasih sayang.”

Semasa zaman kanak-kanak, saya melihat jemput-jemput sebagai sejenis hidangan segera yang mudah dan ringkas. Emak tidak berkeluh kesah jika tetamu tiba-tiba muncul datang bertandang. Ini kerana kedatangan tetamu ke rumah adalah membawa rahmat.

Jemput-jemput hasil tangan emak dan wan, nyata berbeza. Keenakannya bukan sahaja dari segi rasa tetapi bagaimana ia dihasilkan. Ia hidangan ringkas serta penuh kasih sayang dan terhasil dari perasaan yang tulus ikhlas.
Gambar ihsan:
myresepi.com

1 comment:

  1. Salam Puan Roza,
    Saya sgt berminat dgn jemput2 ikan tu...tapi saya tak dapat bayangkan batternya lembut mcm jemput2 biasa ke?saya xpernah makan jemput2 ikan ni..akan sya cuba untuk minum petang...apa sahaja hidangan untuk seisi keluarga..disediakan dgn ikhlas n kasih syg n cinta tidak terasa penatnya.Terutama jika menjadi kegemaran suami dan anak2..banyak pahala ibu2 kita..menyediakan hidangan A-Z,kebanyakan ibu2 sekarang karipap,popia pun beli yg segera di supermarket.
    Terima kaih Puan Roza..sangat teruja nak mencuba resepi jemput2 ikan ni...kopok lekor dulu2 rajin saya membuatnya...

    ReplyDelete