Bacalah dengan nama tuhanmu yang maha mengetahui..



Monday, November 16, 2009

Segalanya pertama kali

Sepanjang semester pertama saya berkawan baik dengan rakan sekelas iaitu Han dan Yat. Kami sering bertiga walau ke mana-mana namun tidak tinggal di dalam hostel yang sama. Han dan Yat berasal dari Kuala Lumpur. Remaja bandar yang segalanya lebih terkini berbanding dengan saya. Diam-diam saya sebenarnya banyak bergantung kepada mereka.

Walaupun Yat adalah anak kelahiran kota raya tetapi saya kira beliau datangnya dari keluarga yang sederhana. Tidak sombong dan saya amat senang sekali dengannya.

Han adalah anak sulung yang berasal dari sebuah keluarga berada. Percakapan, pemakaian malahan peralatan alatulis, fail dan semua benda yang digunakannya dapat mengambarkan kedudukannya. Memang beliau ada gaya. Namun, beliau tidaklah pula menunjuk-nunjuk dengan kekayan yang dimiliki oleh keluarganya.

Pernah suatu ketika, keluarga Han datang melawatnya. Mereka datang dengan sebuah kereta yang besar, gagah dan bergaya. Dengan melihat dari luar tingkapnya sahaja saya dapat membayangkan betapa empuk kerusi kusyen di dalamnya.
"Kenapa nama kereta itu singkat sahaja. BMW?"

Han dan Yat senyum sahaja. Tiba-tiba ibu Han mempelawa.
"Marilah ikut untie dan uncle keluar makan"

"Terima kasihlah untie. Kami sudah makan di kafe tadi"
Saya cuba menolak perlawaan dengan penuh sopan, walaupun di dalam hati teringin sekali menduduki kusyen empuk kereta yang ada di hadapan mata. Ingin sekali. Yat mencubit peha, sakitnya tidak terperi. Bapa Han pula berkata;
"Alah..tidak mengapa. Kita keluar jalan-jalan sahaja"
Akhirnya kami bersetuju.

Pertama kali duduk di dalam kereta sedemikian rupa, menghidu harum wangian dan menghirup udara sejuk dari penyaman udara, hati terkenang kepada kereta Morris Marina abah.[click di sini] Kereta kami tiada penyaman udara. Setiap kali kereta bergerak, tingkapnya sengaja di buka seluas-luasnya. Apabila kereta di pandu laju pasti angin akan masuk ke dalamnya menderu-deru. Jika hujan, cermin tingkap terpaksa dinaikkan. Jadi, pasti kami akan berpeluh-peluh dan cermin tingkap kelihatan meruap-ruap kerana udara terperangkap dari dalam. Namun, itulah kebanggaan kami semua. Banyak jasa kereta itu kepada kami sekeluarga.
"Wah cantiknya tempat ni.."

"Ya..inilah Tanjong Jara Resort. Awak nak makan apa?"
Saya terfikir-fikir apakah makanan yang di jual di dalam resort yang serba mewah seperti itu. Negeri Terengganu adalah tempat ikan, barangkali itulah menjadi sumber bahan makanan utama.
"Keropok ikan"

"He..he..he nanti kita tenguk apa yang ada"
Ibu bapa Han membawa kami ke restoran di dalam resort itu. Terbeliak mata saya melihat makanannya berbaris-baris, bertingkat-tingkat malah berjenis-jenis. Subhanallah! Manusia jenis apakah yang dapat makan kesemuanya!
"Makanlah mana-mana yang awak semua suka. Buffet"
Saya terasa janggal sekali. Terasa seperti seekor ayam kampung yang terlepas masuk ke dalam kelas di Sekolah kebangsaan Paya Jakas.[click di sini] Terpinga-pinga.
"Macamana hendak mulakan ya?"

"Cubalah dengan starter. Prawn cocktail, cream of mushrom atau Tomyam"

Han memberikan cadangan.
"Tomyam sahaja lah.."

Saya membuat keputusan tanpa dapat mengambarkan bagaimanakah rupanya makanan yang dicadangkan. Lalu, mencapai semangkuk kecil tomyam yang diberikan oleh Han. Saya merenung dalam. Mencapai sebatang sudu, menyenduk dan melihat ramuan yang ada. Subhanallah! Ikan, ayam, udang, daging, serai, hirisan bawang serta sayur-sayuran yang beranika rupa terdapat di dalamnya. Semuanya di dalam bekas yang sama! Tidak terfikir bahawa saya diberikan peluang oleh Allah untuk menikmatinya.
"Bismillahirahman nirahhim.."
Saya hirup perlahan tomyam yang suam ke dalam mulut perlahan-lahan dan hati tidak berhenti-henti memuji-muji Allah penuh kesyukuran. Tiba-tiba teringat mak, abah, adik-adik dan Mak Wa. Apakah juadah yang sedang di makan oleh mereka.[click di sini]
"Ya Allah. Selama ini diri ini di ajar makanlah apa yang terhidang di depan mata dengan ala kadar sahaja. Terima kasih Allah. Mudah-mudahan makan ini memberikan berkat dan menambahkan keimanan dan ketakwaanku kepadaMu.

Ya tuhan, berikan kesempatan suatu waktu nanti akan ku kongsikan makanan seperti itu.."
Di dalam diam, air mata jatuh perlahan-lahan. Mencapai sehelai tisu dan mengesatnya tanpa pengetahuan mereka. Hati berbisik sambil merenung ombak pantai Tanjung Jara yang indah permai.
"Jemput makan mak. Jemput makan abah. Jemput makan adik-adik. Jemput makan Mak Wa..."

6 comments:

  1. Salam Pn Roza,

    Mulianya hati walaupun muda remaja lagi masa tu. Saya masa dulu dapat pengalaman pertama seronok sorang-sorang saja. Tak terfikir pun tentang kebesaran Allah dan keluarga.

    ReplyDelete
  2. Salam Puan Roza..
    kakliza pun berlinangan juga air matanya bila membaca..
    Alangkah indahnya jika saat makan itu bersama ibu ayah dan adik-adik sekelian..
    [begitu juga perasaan kakliza jika masak makanan kegemaran anak-anak..teringat mereka yang tinggal berjauhan]..

    ReplyDelete
  3. Salam puan,

    sedihnyeeee.....

    ReplyDelete
  4. salam...kak roza
    syahdunye cite 2..amat bersahaja.tp memberikan kesan y mendalam..sape pun kite..kite tetap manusia biasa..semua y ada Allah yang punya..tiada ada kita punya..kita hanya mengusahakan sahaja..

    ReplyDelete
  5. Salam Roza, this is my first time baca this blog. Bergenang airmata saya. Ingin saya mohon maaf sebenarnya saya bukanlah anak orang kaya. Orang biasa sahaja. ALLAH maha kaya. Pujian-pujian hanya bagi ALLAH SWT. Maaf kerana tidak sedar dan mengetahui keadaan Roza ketika itu, i took it for granted semua orang sama macam saya. Maaf sekali lagi ya. (Han)

    ReplyDelete